Malaysia Dateline

Penangguhan Program Subsidi Petrol dicurigai ada muslihat, dakwa Pas

Penangguhan Program Subsidi Petrol (PSP) menjelang saat akhir pelaksanaannya bermula Januari tahun ini, dicurigai mempunyai muslihat.

Pengerusi Lajnah Pekerja dan Pengguna Pas Pusat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, perasaan curiga itu hadir apabila teks rasmi  surat penangguhan itu menggunakan terma berbeza, iaitu ‘tidak diteruskan’.

Datuk Siti Zailah Mohd Yusuf

Katanya, perkara sedemikian menyebabkan rakyat ternanti-nanti kemungkinan PSP juga bakal menjadi satu lagi ‘harapan’ dan janji yang dimungkiri.

“Penangguhan PSP menjelang saat akhir pelaksanaannya juga menunjukkan kelemahan amat ketara Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Pengumuman program subsidi itu juga menunjukkan kegopohan Kerajaan PH akhirnya memakan diri. Ketika mekanisme pelaksanaannya masih kabur untuk diberi kepada golongan sasar, PH pula dilihat terlalu ghairah kononnya bagi merealisasikan manifesto mereka.

“Akibatnya tersasar, lalu impian golongan B40 dan M40 tidak ubah seperti cuba digula-gulakan sahaja. Kedatangan Tahun Baharu 2020 tidak menggembirakan, tetapi dikecewakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Siti Zailah yang juga merupakan Ahli Parlimen Rantau Panjang menyifatkan pastinya ramai yang hairan dengan sikap teruja berlebihan PH hingga menguar-uarkan kunjungan ke portal rasmi PSP mendapat 3.7 juta pelayar pada awal November.

“Sedangkan perbahasan mengenai PSP hanya berlangsung di Sidang Dewan Rakyat pada pertengahan November. Menteri dan Timbalan Menteri sendiri begitu bersungguh-sungguh mempertahankan projek ini yang seperti telah sangat sempurna,” bidasnya lagi.

Menurut Siti Zailah, rakyat juga sudah sampai tahap mempersoalkan sasaran sebenar PSP yang sekadar pemberian RM30 sebulan, sedangkan hakikat penggunaan berjurang lebih besar dari itu.

“Ia sememangnya akan tersasar apabila harga runcit berada di bawah RM2.08 seliter menerusi kaedah Mekanisme Harga Automatik untuk diapungkan ke harga tersebut. Persoalan lebih besar dari itu berkait ketelusan dan motif PSP.

“Apakah ianya benar-benar menguntungkan rakyat secara bersasar, sekali gus kerajaan? Atau sebenarnya tersasar apabila GHL Systems Bhd yang memenangi tender membangunkan sistem, dipengerusikan individu sama dari Great Eastern Takaful Berhad; pengendali Skim MySalam di bawah Kementerian Kewangan?

“PH diingat supaya tidak bermain silap mata, rakyat menunggu masa untuk membongkarnya. Sepatutnya pihak Menteri bekerjasama dengan para Pegawai Perkhidmatan Awam bagi menyediakan rangka yang matang dan bukannya secara  mengejut (ad hoc) atau demi meraih kepentingan politik,” katanya lagi.

Kerajaan pada 7 Oktober lalu telah mengumumkan pelaksanaan PSP bermula Januari 2020 seiring manifesto mereka.

Sejumlah RM2.4 bilion diperuntukkan Kerajaan bagi pelaksanaan PSP menerusi Belanjawan 2020 dengan jumlah penerima manfaat seramai lapan juta orang daripada kelompok B40 dan M40.