Penangkapan Rafizi rosakkan institusi Parlimen dan keluarga

Penangkapan Rafizi rosakkan institusi Parlimen dan keluarga

Saya berasa duka dan malang sekali menyaksikan penangkapan Rafizi pada hari petang Selasa.

Dia telah memberi kepastian kehadiran beliau untuk ceramah di Terengganu minggu hadapan semasa bergerak keluar dari Dewan Parlimen, saya ternampak beliau menunggu keretanya semasa saya berjalan ke kereta saya.

Semasa saya memandu keluar dari Parlimen melalui pintu depan, saya terkejut nampak satu kumpulan orang dan polis mengelilingi kereta Rafizi.

Selepas itu, saya nampak Rafizi dibawa keluar oleh beberapa orang polis dari keretanya ke satu kereta yang sedang menantinya. Melalui tingkap kereta saya yang terbuka, saya panggil Rafizi dan tanya dia apa yang terjadi.

Sedang Rafizi nak menjawab, tingkap keretanya ditutup. Saya kemudiannya diminta untuk beralih kerana dikatakan mengganggu trafik.

Apa yang mengejutkan saya bukanlah penangkapan Rafizi tetapi persekitaran penangkapan tersebut yang dibuat betul-betul depan pagar Parlimen selepas beliau berkhidmat kepada rakyat sebagai Ahli Parlimen.

Saya selalu fikir Parlimen sebagai satu institusi yang dihormati dan suci. Sesungguhnya, ahli parlimen mempunyai immuniti dalam Parlimen untuk menjalankan tugas.

Secara tradisinya sesuatu resolusi dibentangkan pada permulaan Parlimen menyatakan Ketua Polis Negara (KPN) seharusnya memastikan kelancaran keluar – masuk dari Parlimen, supaya Ahli Parlimen dapat menunaikan tugas mereka.

Penangkapan Rafizi dihadapan pintu masuk Parlimen dilihat sebagai satu cabaran kepada hak Ahli Parlimen bergerak ulang – alik Parlimen ke tempat (konstitusi) masing-masing bagi berkhidmat buat negara.

Saya melihat ini sebagai satu cubaan menakutkan Ahli Parlimen di tempat tertinggi ini untuk mereka menjalankan tugas. Ini adalah amaran jelas kepada ahli parlimen pembangkang bahawa tiada lagi tempat yang selamat.

Bayangkan seorang ahli Istana Diraja ditangkap selepas bertugas kepada Raja. Parlimen juga tempat kita berkhidmat kepada Raja dan rakyat. Ada beratus lagi tempat dan masa Rafizi boleh ditangkap tapi kenapa depan Parlimen sengaja dipilih kalau ini bukan satu amaran jelas sebagai satu mesej menakutkan ahli parlimen pembangkang?

Keduanya, waktu penangkapan Rafizi sengaja dipilih secara kejam untuk melemahkan semangat Rafizi dan keluarganya.

Sekali lagi, ada beratus masa dan tempat dia boleh ditangkap tapi kenapa tempat dan masa tu?
Saya pasti pihak polis tahu secara tepat pergerakan rutin dan masa mereka. Saya pasti mereka tahu yang Rafizi akan mengambil anak lelakinya yang berumur dua tahun dari tempat pengasuh di waktu petang selepas Parlimen sebab isteri dia bekerja.

Saya tidak dapat lupakan ekspresi kecewa pada raut muka Rafizi dan gerak badannya semasa beliau dibawa dari keretanya masuk ke kereta lain. Walau dalam perdebatan hangat Parlimen, saya tak pernah nampak Rafizi sebegitu kecewa.

Sebagai seorang ayah, saya merasa simpati sepenuhnya dengan dia memikirkan anaknya yang baru berumur dua tahun akan menunggu bapanya yang akan mengambilnya pulang ke rumah. Ini adalah satu kekejaman yang nyata untuk menyeksa anak berumur dua tahun untuk sesuatu yang tidak dapat dia fahami dan dia tidak bersalah walaupun Rafizi merayu untuk ambil anak beliau dahulu sebelum ke balai polis tetapi tidak dilayan.

Itu satu perkara yang mematahkan semangat Rafizi tetapi sangat menghinakan membiarkan seorang anak dua tahun merana duka akibat kekejaman permainan minda oleh pihak berkuasa.
Pihak berkuasa sepatutnya merasa malu dengan tindakan kejam mereka terhadap anak kecil tersebut. Apa sudah jadi dengan ‘keluarga dan masyarakat penyayang’? Malaysia sudah hilang jiwanya.

Lokasi penangkapan Rafizi dan masanya dipilih secara sengaja sebagai serangan kejam terhadap Parlimen sebagai sebuah institusi, dan Institusi Keluarga serta tanggungjawab sebagai ibu bapa yang kita pegang merentasi perbezaan agama. Ke mana Malaysia menuju?

* Penulis Raja Bahrin Shah adalah Ahli Parlimen Kuala Terengganu

CATEGORIES