Malaysia Dateline

Penarafan Fitch Ratings merosot, PH mahu usul undi tidak percaya disegerakan

Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan hari ini telah menerima laporan berkaitan perkembangan politik terkini di negeri Perak.

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini menegaskan kerajaan perlu menyegerakn dan mengutamakan usul undi tidak percaya yang telah dibawa Ahli-Ahli Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat yang berlangsung sehingga 17 Disember ini.

Dalam kenyataan bersama tiga parti komponen pembangkang itu, mereka menjelaskan langkah tersebut perlu bagi menamatkan spekulasi berkaitan ketidaktentuan hala tuju politik, merancakkan semula pertumbuhan ekonomi, dan mengembalikan keyakinan terhadap pentadbiran negara.

PH berpendirian penurunan penarafan Malaysia dari AAA- ke BBB+ pada 4 Disember lalu oleh Fitch Ratings memberi tamparan hebat kepada kerajaan khususnya Menteri Kewangan.

“Ia menampakkan kegagalan perancangan dasar serta tatakelola kerajaan, lanjutan dari ketidaktentuan politik yang berlarutan sejak perubahan kerajaan pada Mac lalu.

“Kesan penurunan penarafan ini terhadap ekonomi negara masih belum dapat ditentukan sepenuhnya.

“Namun, apa yang jelas adalah langkah-langkah yang diusahakan Menteri Kewangan selama ini telah gagal memberi keyakinan sehingga berlakunya penurunan penarafan yang cukup serius ini,” tegas mereka.

Sehubungan itu, PH berpendapat Perdana Menteri harus mengangkat prinsip ketelusan dan tata kelola yang baik dengan pelaksanaan langkah-langkah seperti tender terbuka dan pelantikan profesional bukannya ahli-ahli politik ke dalam syarikat berkaitan Kerajaan (GLC).

“Malangnya, ini tidak berlaku di bawah pentadbiran sedia ada,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim dari PKR, Mohamad Sabu (AMANAH) dan Lim Guan Eng (DAP).

Dalam masa sama, Majlis Presiden PH memaklumkan mesyuarat hari ini telah menerima laporan berkenaan perkembangan politik terkini di negeri Perak.