Malaysia Dateline

Penarik beca Pasar Payang tidak terima bantuan yang dijanjikan Exco Terengganu

AMANAH Terengganu meminta kerajaan negeri memberi penjelasan segera berhubung tindakan Exco Pelancongan yang belum menunaikan janji untuk membayar RM200 sebulan kepada pengayuh beca di Pasar Payang.

Pengerusinya Raja Kamarul Bahrin berkata, pengayuh atau penarik beca di Pasar Payang telah memaklumkan kepadanya bahawa mereka masih belum menerima bayaran yang telah dijanjikan oleh Exco Pelancongan, YB Ariffin Deraman.

Raja Bahrin menyampaikan bantuan kepada penarik beca Pasar Payang hari ini

Pada 14 Jun lalu, Kerajaan Terengganu melalui Ariffin Deraman mengumumkan bantuan RM200 sebulan kepada pengayuh beca dan pemandu bot penambang bermula Julai 2021 sebagai inisiatif berikutan pandemik Covid-19.

“Saya difahamkan ianya untuk 57 orang pengayuh beca dan 18 orang pemandu bot penambang.

“Namun, apa yang diadukan oleh pengayuh beca kepada saya pagi ini adalah mengejutkan! Mereka mendakwa tiada lagi bayaran dibuat kepada pengayuh beca.

“Hari ini saya sampaikan sedikit sumbangan bagi meringankan beban mereka,” katanya.

Beliau memohon pihak yang bertanggungjawab segera mengotakan janji yang telah dibuat kerana sejak Julai sehingga Oktober iaitu empat bulan mereka masih tidak menerima insentif yang dijanjikan.