Tulisan ini saya mulakan dengan ayat Al-Quran Surah Al-Anfal Ayat 27:
“Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu mengkhianati amanah Allah dan rasulNya dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedangkan kamu mengetahui salahnya”.
Ayat ini dipetik dalam pengisian Pelan Antirasuah FELDA 2020-2024 yang dilancarkan oleh Pengerusi FELDA Datuk Seri Idris Jusoh pada 7 Disember 2020.
Pengerusi FELDA juga memetik Firman Allah dalam Surah al Mukminun ayat 8-11 yang bermaksud: “Dan orang yang memelihara amanah dan janjinya. Dan orang yang memelihara solatnya, mereka itulah yang akan mewarisi Syurga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya”.
FELDA adalah antara institusi terbesar Melayu-Islam di Malaysia melibatkan 2 juta warga FELDA untuk lima generasi sejak ditubuhkan pada 1956.
Ini niat ikhlas Allahyarham Tun Razak serta kakitangan FELDA untuk mengeluarkan rakyat dari kemiskinan dengan memberikan peluang memiliki tanah dan dimajukan sebagai tanah rancangan yang bersistematik dan menjamin ekonomi.
50 tahun pertama FELDA merupakan kejayaan yang sangat membanggakan rakyat Malaysia terutama warga FELDA.
Namun, awan mendung beserta ribut melanda FELDA pada 2012 apabila berlakunya peristiwa yang menjadi titik hitam bagi FELDA.
Penyenaraian FGVHB di bursa saham menyebabkan kegemilangan FELDA diragut. Campur tangan orang politik yang tidak amanah dan melampau memberi kesan kepada kebajikan peneroka FELDA dan akhirnya mereka menanggung hutang berbilion ringgit.
FELDA yang telah bebas dan berdikari dari peruntukan kerajaan terpaksa merayu semula mendapatkan peruntukan untuk beroperasi dan membayar pendapatan peneroka.
Janji-janji pemimpin dan pengurusan FELDA ketika itu dimungkiri sebagaimana pelan transformasi untuk warga FELDA lebih mewah, akhirnya menerima penyata hutang yang tidak mampu dibayar dengan hasil ladang dan juga pendapatan mereka.
Tahun 2018 dilihat sebagai sinar baru bagi warga FELDA untuk keluar dari belenggu pencabulan amanah oleh individu yang tidak bertanggungjawab.
Kertas Putih FELDA dibentang, pesalah dilaporkan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pendakwaan mula dilaksanakan.
Hari ini akhbar memaparkan pendakwaan kes rasuah melibatkan FELDA ditarik semula. Status laporan polis dan SPRM serta perbicaraan yang sedang berjalan masih tidak diketahui tindakannya.
Apakah komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kanan yang membentang Kertas Putih FELDA iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, serta Menteri Ekonomi Datuk Seri Mustapa Mohamed dan kerajaan keseluruhannya dalam menjunjung amanah dan janji sebagai mana ayat Al-Quran yang dipetik diatas?
Adakah masih ada harapan untuk FELDA berubah bebas rasuah dan mencapai objektif kelestariannya apabila berlakunya penarikan pendakwaan rasuah ini?
Saya sendiri dan warga FELDA terpikat dengan visi dan misi “Mencari Keberkatan” Pengerusi FELDA dalam membina semula FELDA yang telah rosak.
Warga FELDA pastinya mahukan keberkatan yang dicari itu seiring dengan amanah dan kebertanggungjawaban yang tinggi dengan memastikan orang yang salah perlu diadili, bukan ditarik pendakwaannya sebelum dibuktikan tidak bersalah.
Dengan rendah diri diharapkan pihak kerajaan menilai semula penarikan pendakwaan ini agar harapan warga FELDA untuk melihat FELDA bangkit semula tercapai dimasa hadapan.
Warga FELDA tidak rela dikhianati untuk kesekian kalinya.
———————
Penulis merupakan Ketua Pemuda AMANAH Kawasan Tenggara
Generasi ke 2 dan Ke 3 FELDA.