Penarikan sokongan Zahid hanya untuk kaut laba berganda?

Oleh BORHAN AHMAD

“Sandiwara politik” dan “Badut politik,” itulah realiti yang boleh digambarkan berkaitan dengan tindakan Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penarikan sokongan terhadap Perdana Menteri Mahiaddin bin Md Yasin. Landskap politik Malaysia hakikatnya tidak mempunyai impak langsung ke atas pengumuman tersebut, bahkan tindakan yang dilakukan oleh Ahmad Zahid Hamidi hakikatnya tidak mempunyai nilai yang signifikan dalam konteks mencatur perubahan pucuk pimpinan kerajaan, atau pun membawa kepada perubahan struktur dalam kerajaan.

Alasan yang dijadikan modus operandi oleh Zahid Hamidi bertunjangkan atas andaian bahawa kerajaan telah gagal (kerajaan gagal) dalam mengurus dan mengendalikan pandemik Covid-19, kegagalan kerajaan dalam mempertahankan sistem demokrasi berparlimen dan kegagalan dalam mewujudkan kestabilan politik serta pembangunan ekonomi.

Secara keseluruhannya Ahmad Zahid Hamidi menyenaraikan 7 rumusan kegagalan utama kerajaan Mahiaddin Md Yasin. Secara tidak langsung Ahmad Zahid Hamidi memperakui dan mengesahkan persepsi umum dan pandangan rakyat bahawa kerajaan yang wujud pada ketika ini adalah kerajaan gagal.

Realitinya Umno adalah merupakan salah satu pihak yang menjadi pendokong kepada kewujudan kerajaan pada hari ini, bermakna Umno juga adalah merupakan sebahagian daripada pembentuk dan pelaksana dasar-dasar kerajaan. Maka secara tidak langsung Umno terkait dengan segala kegagalan yang dilakukan oleh kerajaan, itu hakikatnya. Umno tidak seharusnya lari daripada tanggungjawab dan kebertanggungjawaban di atas kegagalan tersebut.

Dengan yang demikian, dapat dikatakan bahawa kegagalan tersebut adalah juga merupakan kegagalan Umno. Harus dingat, bahawa ramai di antara Menteri dan Timbalan Menteri dalam kabinet kerajaan hari ini datangnya daripada Umno. Apa yang jelas terdapat lebih kurang 14 orang yang menganggotai pentadbiran Mahiaddin Md Yasin adalah ahli Umno dan di antara mereka merupakan pimpinan tertinggi parti.

Apakah ini tidak boleh dikatakan bahawa kegagalan kerajaan tersebut adalah juga merupakan kegagalan Menteri dan Timbalan Menteri daripada Umno? Secara tidak langsung menggambarkan juga sebagai kegagalan Umno, lebih khusus juga adalah kegagalan Ahmad Zahid Hamidi itu sendiri.

Apa yang jelas, kemunculan Ahmad Zahid Hamidi membuat sidang media berhubung dengan penarikan sokongan terhadap Mahiaddin Md Yasin sebagai Perdana Menteri lebih menyerlahkan akan kewujudan watak-watak “Wak Yoh, Pak Dogol dan Somad” dalam personaliti dirinya, melakarkan sketsa politik lelucon.

Hakikatnya Ahmad Zahid Hamidi tidak berani bersikap “jantan” untuk membawa keluar Umno daripada kerajaan serta memutuskan hubungan dengan kerajaan secara mutlak. Disebalik gembar gembur menarik balik sokongan terhadap Mahiaddin Md Yasin, Ahmad Zahid Hamidi masih kekal menyokong dan mengadaptasi Umno sebagai sebahagian anggota kerajaan PN.

Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang media tersebut juga, cuba menampilkan imej pemberontak untuk menarik perhatian Mahiaddin Md Yasin untuk mencipta peluang rundingan terbuka bagi memperolehi laba dan keuntungan, khususnya kepada Umno agar dapat mengangkat Umno sebagai “abang besar,” setelah agak ralat dengan penguasaan Bersatu terhadap landskap politik negara dan juga secara tidak langsung berjaya mengerdilkan imej Umno di mata umum.

Apa pun keadaannya, isu sebenar adalah berkait dengan talian hayat, Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa bekas pimpinan Umno, termasuk Najib Razak sedang berdepan dengan perbicaraan di mahkamah, kes-kes korupsi mereka tetap berjalan sebagaimana yang direncanakan oleh mahkamah, bahkan sudah ada yang terhukum dan sedang menanti hukuman, apa yang nyata penglibatan mereka dalam langkah Sheraton dan sokongan mereka sehingga membawa kepada Mahiaddin Md Yasin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, tidak memberikan kesan signifikan terhadap kes-kes mahkamah yang dihadapi mereka, undang-undang tetap undang-undang.

Setakat ini Mahiaddin Md Yasin kelihatannya masih berpegang kepada keperluan untuk melaksanakan kedaulatan undang-undang, segalanya terserah kepada keputusan mahkamah. Keadaan ini, sedikit sebanyak menyebabkan wujudnya “keugahan” sokongan mereka terhadap Mahiaddin Md Yasin, sehingga pelbagai tindakan dan amaran dibuat untuk menarik sokongan, semata-mata untuk mendapat “belas ihsan” Mahiaddin Md Yasin bagi membolehkan kes-kes mahkamat mereka di”urus”kan semula.

Kekecohan dan kebecokan Ahmad Zahid Hamidi secara tersirat adalah usaha untuk mendapatkan reaksi Mahiaddin Md Yasin, memandangkan Mahiaddin Md Yasin sendiri merupakan Perdana Menteri yang tidak pernah disahkan sokongan dengan bukti-bukti konkrit kepercayaan ahli-ahli Parlimen terhadapnya, berdasarkan situasi ini Mahiaddin Md Yasin, berada dalam situasi yang tercabar dan dicabar sebagai Perdana Menteri yang mempunyai nilai keabsahan.

Bererdasarkan keadaan itu, tekanan-tekanan terhadap Mahiaddin Md Yasin akan tentunya memberikan keuntungan besar kepada Umno, keadaan ini boleh dilihat dengan pelantikan Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri, melangakui Azmin Ali, juga merupakan Menteri Kanan yang akan mengambil alih peranan Perdana Menteri, khususnya mempengurusikan mesyuarat Kabinet, diwaktu ketiadaan Perdana Menteri, seperti dimaklumkan oleh Mahiaddin Md Yasin 11 Mac 2020.

Jika disabitkan dengan kerajaan gagal, sebagai alasan untuk menarik sokongan terhadap Mahiaddin Md Yasin, maka sepatutnya Ahmad Zahid Hamidi juga tidak seharusnya membiarkan Umno menjadi pihak yang disabitkan dengan kegagalan tersebut. Menteri-menteri daripada Umno juga perlu membebaskan diri daripada tanggungjawab terhadap kegagalan tersebut, Umno dan ahli-ahli Umno perlu bebas daripada terjelepuk dengan kegagalan tersebut.

Maka Zahid Hamidi sepatutnya membawa keluar Umno secara pukal daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN), dengan itu baru boleh dikatakan tindakan yang dilakukan Ahmad Zahid Hamidi mempunyai nilai “kejantanan.” Sewajarnya kesemua anggota Umno yang berada dalam kerajaan menyambut dengan gagah terhadap kenyataan Ahmad Zahid Hamidi tersebut, masing-masing bertindak melepaskan segala jawatan dalam kerajaan dengan segera.

Namun ini tidak berlaku, dan pasti tidak akan berlaku, tiada rangsangan dan hambar sambutannya dalam kalangan ahli-ahli Umno, berkait dengan pengumuman Ahmad Zahid Hamidi tersebut, khususnya dalam kalangan mereka yang berada dalam kerajaan, mahu pun dalam kalangan mereka yang mengetuai Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

Perkara ini sesuatu yang sudah dijangka, memandangkan masing-masing pihak dalam Umno terperangkap dengan “mentaliti silo” yang mempengaruhi tahap keberanian mereka untuk bertindak. Maka adalah jelas bahawa ahli-ahli Umno tidak mempunyai keberanian untuk hidup tanpa kuasa, memandangkan hamya kuasa merupakan peluang terbuka untuk membesarkan harta.

Tindakan yang dilakukan Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan untuk menarik balik sokongan (serta merta) terhadap Mahiaddin Md Yasin, hakikatnya tidak memberikan apa-apa kesan dan umumnya bersifat zero impact dalam konteks perubahan politik, sama dengan apa yang pernah diumumkan oleh Anwar Ibrahim melalui sidang media yang diadakannya, dicanangkan bahawa dia mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan dengan patah-patah ayatnya, “Strong, formidable and convincing majority,” mencabar Mahiaddin Md Yasin untuk meletakan jawatan.

Pengumuman Ahmad Zahid Hamidi dengan pengumuman Anwar Ibrahim merujuk kepada perkara yang sama dengan situasi serta motif yang sama, meski pun tujuan berbeza, hakikatnya kedua-duanya adalah retorik tanpa makna.

Beberapa jam selepas pengumuman Ahmad Zahid Hamidi tersebut, Peguam Negara telah mengeluarkan kenyataan bahawa “Kerajaan tidak mempunyai apa-apa fakta jelas yang menunjukkan bahawa perdana menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat,” sudah cukup untuk mematikan gerakan Zahid Hamidi. Peguam Negara telah menggunakan kepakarannya untuk mentafsir dan menjustifikasi Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Hakikat yang harus disedari, Umno, ahli-ahli dan Ahmad Zahid Hamidi sendiri sebagai Presiden, tidak mempunyai keberanian yang jitu untuk bertindak membawa keluar Umno daripada kerajaan PN. Ahmad Zahid Hamidi dan Umno tidak bersedia untuk menjadi kumpulan yang terpinggir daripada lingkaran kuasa, ini amat memeritkan. Hampir kesemua ahli Umno dan para pemimpin Umno “membesar” dalam keadaan Umno menguasai kuasa.

Sesuatu yang sukar, tentu sekali agak tidak “betah” untuk hidup dalam situasi nyah kuasa. Walau apa pun keadaannya, Ahmad Zahid Hamidi akan terus membawa Umno untuk berstatus sebagai pemberontak dalam kerajaan PN, untuk membolehkan mereka memberikan ancaman dan tekanan kepada Mahiaddin Md Yasin, bagi membolehkan Umno mendapat peluang-peluang untuk melonjak, pada akhirnya menguasai jawatan Perdana Menteri, sebagai matlamat akhir.

Menguasai puncak kuasa adalah penting buat Umno, memandangkan pengalaman sebagai pembangkang selama 22 bulan menjadikan Umno kehilangan maruah diri, segala bentuk tingkah laku korupsi mereka terdedah, terbongkar sehingga menampakan akan kebusukan yang berlaku dalam Umno. Maka agenda utama Umno dengan mendesak Mahiaddin Md Yasin meletakan jawatan adalah untuk membolehkan Umno kembali memegang jawatan Perdana Menteri.

Kini jalannya telah terbuka dengan pelantikan Ismail Sabri Yaakob, sebagai Timbalan Perdana Menteri, walau pun pada 7 Julai 2021, Ketua Pemuda Umno mengumumkan bahawa Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dikatakan telah menolak jawatan Timbalan Perdana Menteri yang ditawarkan, namun pada 7 Julai 2021 juga Umno begitu terbuka menerima pelantikan Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Cakap tidak serupa bikin.” Lidah tidak bertulang, sekilas ikan di air sudah boleh diagak jantan betinanya. Hal inilah yang mendorong Khaled Nordin. Naib Presiden Umno membuat kenyataan bahawa Ismail Sabri Yaakob, boleh memangku jawatan Perdana Menteri sekiranya Mahiaddin Md Yasin meletakan jawatan. Kenyataan Khalid Nordin ini ternyata diluar semangat Perlembagaan Pesekutuan, peletakan jawatan Perdana Menteri akan membawa kepada pembubaran seluruh anggota Kabinet, kerana Perdana Menteri dan Kabinet merupakan tanggungjawab bersama. Tiada pangku memangku yang diperuntukan.

——————
Penulis adalah Penyelidik Perunding di Human Resource Academy.