Penasihat Petronas: MPN sokong pelantikan Tun Abdullah, Ku Li juga layak

Penasihat Petronas: MPN sokong pelantikan Tun Abdullah, Ku Li juga layak

Pengumuman kabinet semalam mengenai pelantikan bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Penasihat Petronas yang baharu disambut baik Majlis Profesor Negara (MPN).

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pengumuman kabinet semalam mengenai pelantikan bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Penasihat Petronas yang baharu disambut baik Majlis Profesor Negara (MPN).

Tun Abdullah atau mesra dipanggil Pak Lah dinilai sebagai salah seorang pemimpin yang sesuai dilantik mengantikan Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah ditamatkan perkhidmatannya pada 11 Mac lalu.

Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Ulung Datuk Shamsul Amri Baharuddin memberitahu jawatan Penasihat Petroliam Nasional Berhad (Petronas) adalah jawatan kehormat bukan jawatan kerjaya.

Ujarnya, sudah pasti pemilihan ditentukan oleh kabinet Malaysia bukan oleh Petronas.

“Pastinya sebagai Penasihat Petronas mendukung hasrat kerajaan, rakyat dan kabinet namun kalau terdapat berbeza pandangan harus sedia memberikan nasihat.

“ Pak Lah sesuai menjadi Penasihat Petronas kerana semasa bertugas sebagai perdana menteri, Petronas adalah dibawah tanggung jawab beliau juga,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Prof Shamsul juga berkata, Pak Lah yang akan memulakan tugasnya pada 1 April depan perlu menyokong skim pemberhentian pekerja kakitangan Petronas di samping membantu kalangan pekerja yang terpaksa diberhentikan ekoran kejatuhan nilai matawang ringgit dan penurunan harga minyak di pasaran dunia.

“Sokongan Pak Lah terhadap pelaksanaan skim ini sangat diperlukan untuk mengurangkan impak sosio-politiknya. Ini kerana Petronas bukan sebuah pertubuhan filanstrofi (dermawan). Petronas terpaksa melaksanakan pembuangan pekerja kerana kejatuhan harga minyak,” ujarnya.

Ada pihak yang kurang senang dengan pelantikan Pak Lah walaupun pernah menjawat menteri kabinet dan perdana menteri, kerana beliau hanya memimpin negara sepenggal apabila prestasi BN merudum dalam pilihan aya umum (PRU) ke-12 pada 2008 yang menyaksikan Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Perak jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.

Oleh itu, Mahathir berpendapat Pak Lah harus mempertimbangkan perletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri setelah kegagalan besar BN dalam pilihan raya tersebut.

Dalam hal ini Prof Shamsul berpandangan jika kabinet tidak melantik Pak Lah, individu lain yang layak ialah Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.

“Ku Li adalah tokoh lain yang sesuai selain Pak Lah kerana mempunyai pengetahuan intim mengenai penubuhan Petronas dan perjalanannya hingga sekarang. Namun rekod politik Ku Li mungkin tidak impresif seperti Pak Lah,” ujarnya.

Sebagai rekod kabinet secara rasminya menamatkan jawatan Tun Mahathir sebagai penasihat syarikat multinasional milik penuh negara itu pada 11 Mac lalu.

Tindakan penamatan jawatan diambil berikutan ketidaksefahaman dalam kesaksamaan berpolitik, apabila Mahathir dilihat menyerang secara terbuka pentadbiran dan personaliti Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Mahathir juga dilihat mengadakan kerjasama dengan para pemimpin pembangkang apabila mengisytiharkan Deklarasi Rakyat pada 4 Mac lalu.

Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataannya bersetuju atas penamatan ini kerana Mahathir tidak menyokong kerajaan sedia ada maka tidak patut mempunyai sebarang jawatan dalam kerajaan.

TAGS