Malaysia Dateline

Penasihat PM bertaraf menteri akan melawat PPV IDCC Shah Alam tengahari ini

Penasihat Perdana Menteri bertaraf Menteri, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dijangka akan melawat Pusat Pemberian Vaksin, PPV Pusat Konvensyen Ideal, IDCC Shah Alam, Selangor tengahari ini.

Ini dipercayai tugas awal beliau selepas disahkan menggalas jawatan tersebut.

Menurut satu kenyataan, bekas menteri besar Perak yang dijatuhkan dengan undi percaya itu dijangka akan tiba jam 1 tengahari ini di PPV berkenaan.

“Fokus tinjauan adalah bagi melihat kelancaran PPV berkenaan selain mendapatkan maklum balas daripada petugas barisan hadapan serta penerima vaksin di PPV berkenaan.

“Kami amat berbesar hati jika pihak tuan/puan dapat memberikan liputan media kepada program yang dimaksudkan,” kata satu kenyataan media yang mengajak media membuat liputan.

Semalam Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengesahkan Faizal dilantik sebagai Penasihat Perdana Menteri bertaraf Menteri.

Tidak dinyatakan bila perlantikan itu bermula kerana menurut satu sumber, Faizul sudah dilantik sejak Julai lepas namun tidak diumumkan.

Perlantikan itu mula disebarkan kepada umum melalui satu poster ucapan tahniah yang dikeluarkan oleh Bersatu Bahagian Kota Bharu.

Namun, Bersatu Perak selepas itu menafikan perlantikan itu sehinggalah ia disahkan oleh PMO semalam.

Ahmad Faizal jatuh sebagai menteri besar Perak selepas usul undi percaya yang dikemukakan ke atas beliau kalah di Dewan Undangan Negeri sebelum ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan, undi percaya akan dikemukakan kepada beliau dalam sidang Parlimen September ini bagi menentukan keabsahan kerajaan beliau.