Penat, basah keringat, komited seorang pemimpin petani

Penat, basah keringat, komited seorang pemimpin petani

Dalam kesibukan bulan Ramadhan dan perancangan merangka jadual cuti tahunan, elok juga kita ‘berehat’ sebentar daripada hal-hal peribadi dan mula memikirkan tentang pemimpin yang hampir tiada masa berehat untuk diri  sendiri.

Pernahkah kita memikirkan berbasah keringat dan pengorbanan seorang pemimpin?

“Macam mana saya nak ambil cuti. Perdana Menteri yang berumur 93 tahun itu pun tiada masa rehat dan cuti”.

Itu antara kata-kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, yang dapat dikongsi oleh Setiausaha Akhbarnya, Alyaa Azhar, tatkala beliau dilihat sudah perlu mengambil cuti daripada jadual yang padat.

Seringkali juga beliau menunjukkan raut letih yang teramat tetapi sekadar dapat memejam mata seketika dan kembali menjalankan tugas sebagai menteri untuk rakyat.

Beliau sememangnya dikenali dengan pewatakan soft spoken selain merendah diri dan sering kali berkata ‘I am willing to learn’ yang merujuk kepada kesediaannya belajar dan menerima kritikan dari pegawai-pegawainya memandangkan beliau kali pertama menjadi Menteri.

Bagi Alyaa, sepanjang setahun bertugas bersama Ahli Parlimen Pulai itu, beliau kagum dengan sikap komited dalam melaksanakan tugas dan dilihat sebagai satu-satunya pemimpin yang telah menyenaraikan 5 teras utama hala tuju kementerian itu.

“Sepanjang proses dalam mencapai hala tuju yang disepakat, memang melibatkan banyak perbincangan dan hasil diskusi diperingkat paling bawah, pertengahan, serta atasan, akan di perdebatkan lagi untuk kita perincikan. Tapi Yb seorang yang terima segala idea yang diberi dengan justifikasi.

SUA nya turut menyenaraikan satu pencapaian terbaik menteri itu iaitu pengeskportan buah durian  sejuk beku  dan nangka yang berjaya menembusi sehingga ke pasaran terbesar iaitu negara China secara meluas.

Katanya, lebih banyak peluang diberikan negara itu kepada Malaysia untuk memperkenalkan lebih banyak buah-buahan dan membawa masuk ke pasaran China.

“Sebelum ini memang durian sudah menembusi pasaran China namun melalui spesifikasi ketat iaitu hanya boleh bawa masuk berbentuk ulas sahaja. Tapi sekarang kita dah boleh bawa masuk terus sebiji durian, bukan lagi ulas seperti sebelum ini. Menteri juga sedang dalam usaha membawa masuk lebih banyak buah-buahan seperi nangka ke pasaran China,”katanya.

Salahudddin pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan Manusia (Universiti Putra Malaysia) itu juga seorang yang rajin melakukan solat Sunat jika ada waktu yang terluang.

“Kadangkala apabila menjenguk ke bilik Yb, nampak Yb sedang bersolat. Yb akan melakukan solat Sunat setiap kali ada masa terluang. Itu yang saya kagum dengan semangat beliau tatkala sibuk menguruskan banyak perkara di bawah kementeriannya.

“Jika orang luar lihat Yb seperti garang, sebenarnya tidak. Beliau sangat lembut ketika berbicara, bukan yang senang melenting sehingga saya sendiri tidak pasti bila waktunya beliau tertekan. Beliau dilihat sangat tenang.

“Yb juga seorang yang sangat mudah didekati dan dihubungi. Kadangkala menimbulkan kerisauan pula di pihak saya sebagai SUA nya. Saya sehingga terpaksa memberitahunya satu peraturan di mana jika ada media yang menghubungi, perlu hubungi saya dahulu,” ujarnya berseloroh.

Datuk Salahuddin Ayub bersama Menteri Kewangan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mempunyai peranan penting dalam merangka strategi membabitkan dua kementerian bagi Program Hasil Baharu yang akan dilaksanakan dalam tempoh 4 tahun untuk kenalpasti hasil pertanian berpotensi  meletakkan sektor pertanian sebagai pemacu eknomi negara.-Foto Wan Zahari Wan Salleh.

Salahuddin  antara paling dekat dengan warga tani

Mengulas lanjut tentang budaya kerja Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu, Setiausaha Sulitnya Asim Abdullah pula berpendapat, sebagai Menteri Pertanian, Salahuddin seorang pemimpin yang aktif turun ke padang melihat keperluan rakyat.

“Yb ini menteri pertanian, jadi dia sangat berkait rapat dengan orang bawahan dan itu antara sebab kenapa saya susun jadual beliau untuk kerap turun padang kerana kementeriannya memang menjurus kepada segmen Melayu yang besar dan kebanyakan Nelayan, Penternak, Pekebun dipelopori orang Melayu kita.

“Dari sudut pekerjaan sebagai Menteri, dia sentiasa memahami apa yang berlaku di peringkat bawah dari segi masalah petani, masalah nelayan dan banyak isu nelayan yang cuba ditanganinya. Mungkin maklumat dari pegawai pertengahan kadangkala tak sampai, jadi sebab itu menteri selalu turun.

“Bagi saya Yb memang antara yang rajin turun padang kerana saya selalu ikut Yb. Dalam sebulan, sehingga empat kali Yb akan turun melawat ke negeri-negeri selain Kuala Lumpur. Bulan puasa ini pula kita dah susun jadual untuk Yb ke Serawak, Kelantan, dan ke Kedah,”ujarnya.