Malaysia Dateline

Penat duduk rumah, patuh SOP tapi kes tak turun, luah warganet

Susulan kes baharu positif COVID-19 melonjak kepada 5,725 kes pada hari ini, warganet terus mempertikaikan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 yang dilaksanakan kerajaan bermula 13 Januari lalu.

Bagi mereka selepas 14 hari pelaksanaan PKP 2.0 sepatutnya angka kes baharu menurun bukannya semakin melonjak seperti yang dilaporkan hari ini.

Malahan ada yang menyifatkan lebih baik tidak perlu adakan PKP kerana penat duduk di rumah dan mematuhi SOP yang diarahkan kerajaan malangnya kes terus meningkat.

“Penat je duduk uma n patuhi SOP siap bt pkp lg tp kes bkn menurun tp makin meningkat…tahniah2 malaysia….besok 10k…tepukkkk,” kata Jiwa Santai.

“Xyah pkp la kalo kes mcm ni… Sm je… Angka pesakit covid tu serupa x yah pkp.. Sume urusan aku tergendala.. Nk keluar daerah ade urusan..,” tulis Lya Aries di ruangan komen facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bukan itu sahaja ada juga yang melihat PKP 2.0 kali ini agak longgar dan ia adalah usaha yang sia-sia tidak seperti 1.0 pada Mac tahun lepas yang lebih berkesan.

“PKP LONGGAR 2.0 dah lebih 2minggu hanyalah PKP sia2 . Buat jelah PKP PENUH TOTAL LOCKDOWN . tak payah buang masa dgn PKP MAIN2 mcm ni …. bosan . Rakyat nak perubahan positif bukannya perubahan yg lebih buruk,” tulis Kyairul Sofearade.

Ekoran itu ramai yang melahirkan simpati kepada barisan hadapan khususnya kakitangan KKM yang mengorbankan masa dan tenaga untuk memastikan rantaian pendamik ini putus.

“PKP tapi macam tak ada PKP, serba serbi longgar dan tiada kesungguhan mengurangkan kes baru, kesian barisan hadapan berhempas pulas, bersengkang mata tapi kes baru tetap naik,” tulis Dato Mansor.

Selepas 17 hari perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan bermula 13 Januari lalu hari ini kes baharu positif COVID-19 melonjak kepada 5,725 kes menjadikan kumulatif kes baharu setakat hari ini 203,933 kes.