“Penat hidup menumpang tapi suami tak izin aku kerja, dia juga tiada ‘income’ tetap”

Oleh WAN SITI AMINAH

Isteri manakah dapat menahan sabar dengan suami yang bersikap sambil lewa dalam menunaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga terutamanya mencari nafkah.

Lebih memburukkan keadaan, lelaki berkenaan juga tidak menunjukkan tanda-tanda untuk berubah atau berusaha bagi memastikan kehidupan anaknya selesa dan terjamin.

Masih mencari jalan penyelesaian dalam masalah rumah tangganya, berikut perkongsian isteri yang pernah berniat mahu keluar daripada perkahwinan berusia lima tahun itu.

“Saya merupakan seorang isteri, sudah lima tahun berkahwin. Mempunyai dua orang anak, sepasang. Yang sulung itu perempuan dan saya bersalin secara pembedahan (caesarean) untuk kedua-duanya. Sepanjang lima tahun berkahwin, 70 peratus saya hidup dengan suami secara Perhubungan Jarak Jauh (PJJ), sehingga ke hari ini.

“Saya dan suami kelulusan ijazah. Tetapi dia minta saya tak bekerja dan fokus jaga anak-anak sahaja. Sebelum kahwin, saya bekerja dengan gaji lebih RM2,000. Malah selepas bersalin, saya ada usaha berniaga buka kedai. Namun suami suruh berhenti juga. Mana tidaknya, kena beli barang dan keluar masuk kedai dengan dua anak.

“Anak kedua ketika itu bayi lagi, kena gendong masuk kedai. Kadang-Kadang kalau dia tidur, tinggal dalam kereta sahaja. Minta anak pertama kunci pintulah sementara saya masuk kedai. Sebabkan fikirkan anak, saya tutup kedai. Kenalah tanggung rugi dan hutang sendiri. Suami cakap nanti dia bayarkan semua hutang-hutang saya.

“Itu termasuk hutang perniagaan tetapi suami sendiri tiada pendapatan yang cukup. Orang kata saya macam ibu tunggal. Dia adalah suami yang tak didoakan. Kenapa macam itu? Saya nak cerita untuk merungkai kekusutan hati dan fikiran ini. Harapnya dapatlah nasihat bernas dan berguna untuk beri saya kekuatan teruskan hidup.

“Dua insan yang saya jadikan tempat merujuk dan luah untuk dapatkan penyelesaian sudah pergi menghadap Ilahi iaitu kakak sulung dan ibu. Sejak dari itu, saya memang banyak memendam sahaja. Suami saya sangatlah baik, rajin, pembersih dan juga penyayang. Dia merupakan anak bongsu yang memiliki ramai kakak-kakak.

“Kehidupan kami sedikit sempit dari segi kewangan. Kebanyakkan masa, sesak juga sampai korek tabung nak pakai duit syiling. Tetapi syukur Alhamdulillah, ada sahaja rezeki yang selalu mencukupkan. Mungkin rezeki anak. Suami saya tiada kerja, lebih tepatnya dia tidak berniat untuk bekerja. Dia jenis yang tidak boleh berkerja.

“Terutama jika dengan pengawasan orang atasan. Tak tahu puncanya. Suami pandai juga menjahit dan baiki pakaian. Ada masanya, dia buat kerja separuh masa di hotel kalau ada majlis. Kadang-kadang itu masuk pasar malam untuk meniaga. Kalau ada kereta untuk dibawa ataupun diberi pinjam, dia akan jadi pemandu e-hailing.

“Dari situlah suami dapat pendapatan, cukup-cukup makan untuk belanja keperluan sahaja. Nafkah tempat tinggal tak mampu lagi untuk lima tahun. Jadinya selama ini, saya tinggal rumah mak beberapa tahun, duduk dengan mertua beberapa bulan dan berpantang anak kedua di situ juga. Pernah kami cuba nasib pergi negeri orang.

“Waktu itu kami menumpang bilik di rumah ipar, ada duduk ruang tamu juga. Tak nak menyerah punya pasal, sangguplah hidup susah senang dengan suami. Sebab selalu hidup PJJ, suami lebih terbiasa hidup tanpa anak bini. Tak perlu mengatur anak isteri, lebih selesa solo, atur barang sendiri dan hidup berpindah randah seorang diri.

“Alasan suami, tak mampu lagi sediakan tempat tinggal ataupun tak stabil nak hidup dengan anak dan isteri. Tetapi mak mentua selalu tegur, jadi merempat tumpang bilik pun sebab dia masuk campur. Rasa serabut, selalu salahkan kami yang katanya tak memahami keadaannya. Aada masa terdetik kami menyusahkan dia.

“Katanya habiskan duitnya yang susah payah didapatkan. Jadinya hujung tahun lalu, kami putuskan untuk sewa rumah biras. Konon nak usaha sehabis baik seperti orang lain. Tetapi sudahnya suami pergi negeri lain ikut kakak dia kerja dengan syarikat ipar di utara semenanjung. Sementara kami dibiarkan sahaja di Selangor tiga beranak.

“Suami tak dapat bayar sewa rumah sebab kerja tak bergaji. Katanya, syarikat belum stabil. Jadi saya minta cuti balik kampung di borneo nak beraya dengan adik beradik. Sekarang terbengkalai beberapa bulan di kampung sehingga ke hari ini sebab suami tiada duit nak bawa berhijrah balik merantau. Saya juga kasihan dengan anak-anak.

“Sebabkan banyak masa PJJ, saya kasihan melihat perkembangan mereka. Mungkin kerana tiada ayah nak beri didikan. Walau duduk serumah, suami lebih banyak masa dengan telefon, sibukkan diri dengan mengemas rumah atau keluar ke mana-mana. Dia rimas duduk rumah. Dia juga salahkan saya kalau jadi apa-apa pada anak.

“Tahap mental dan kesabaran saya jangan cakaplah. Allah sahaja yang tahu. Suami saya anak bongsu, dia banyak membesar dengan kakak-kakaknya. Jika berkumpul ramai-ramai pun dia selalu lebihkan kakak-kakak atau anak buah yang lain sampai anak-anaknya sendiri selalu makan hati dan cemburu melihat keadaan itu.

“Pernahlah ada perjalanan keluarga, pergi majlis ke negeri lain. Suami bawa kereta bersama kakak dia dan anak-anak buah. Kami tiga beranak tumpanglah anak buah dia yang ada kereta lain. Pandu kereta pun laju, tak hirau anak isteri yang ada dalam kenderaan lain. Ditinggalkan macam itu sahaja. Ada satu hari, dia tidak balik langsung ke rumah.

“Sebab penat selesaikan urusan adik-beradiknya. Bukan nak mencari nafkah untuk keluarga kecil kami. Sebab itu jugalah saya tidak mahu duduk dengan mentua. Dia tak tidak mampu berlaku adil. Rasa macam bermadu dengan mentua pun ada. Dia hanya ada dengan kami waktu tidur sahaja. Balik cari rezeki, dia luang masa dengan maknya.

“Walau kami duduk semeja atau dalam satu ruang, hanya ketika topik anak-anak timbul barulah saya ini dilayan dan diajak bercerita sekali. Jika saya dan mak mentua berdua di rumah, tiada masalah. Sudah macam anak beranaklah. Tetapi jika ada suami, macam hidup bermadulah. Nafkah pun kena tunggu mak dia ingatkan, barulah dapat.

“Mentua ada juga berikan duit suruh belikan barang yang saya mahu. Adakah hati saya yang sudah hitam? Semua peristiwa ini meninggalkan bekas di hati saya. Berdosa tak kalau saya tak doakan suami? Kalau suami cakap perkara tak elok mengenai bersyukur atau tidak mampu bersabar, saya kecewa dan doa akan tuntut semua di akhirat nanti.

“Adakah sebab saya tak doakan suami, punca rezeki kami jadi sempit atau hidup merempat macam ini? Suami kata doa saya tiada kaitan dan tak berkesan dengan dia. Sebab semuanya Allah sudah tentukan rezeki, hidup dan mati seseorang itu. Selama lima tahun, boleh kira beberapa kali sahaja suami mengimamkan solat saya.

“Kalau berbincang tentang hala tuju rumah tangga kami, suami akan putar cerita. Dia hanya minta faham keadaan. Mula-mula dahulu, dia sering salahkan saya sebab minta kahwin awal ketika belum bersedia. Sekarang saya sudah duduk rumah mak di Borneo ini selama berbulan-bulan, nanti tunggu dia ambil balik katanya.

”Kalau suarakan saya tertekan dengan karenah anak-anak, penat atau nak keluar bekerja cari pendapatan sendiri, dia selalu cakap nak ambil anak-anak biar mak dia yang jaga. Tetapi mak mentua sudah tua. Masa saya berpantang pun tak harap sangat dengan mak dia, tak berniat nak mentua jaga anak-anak walaupun dia sendiri yang mahu.

“Lagipun rumah itu tak selamatlah untuk anak-anak saya. Mentua selalu selit-selit pisau yang dia buat potong buah di bawah sofa atau bantal. Kadang-kadang parang terbiar di tempat rendah selepas guna. Semua ini saya tak boleh sebut dekat suami sebab tiada hak. Kalau tak nak tinggal sekali, PJJ sahaja dan duduk diam. Nanti dia beri duit.

“Sekarang saya sudah buat keputusan nak bercerai. Tetapi kasihanlah anak-anak pula nanti macam mana. Namun kesihatan mental saya cukup teruk. Lagi-lagi suami tidak berniat kerja, bagaimana masa depan kami? Sampai bila kena beri peluang dan bersabar?.” Kongsi wanita terbabit di sebuah forum atas talian.

Baca juga: “Lepas aku bersalin je memang kerap gaduh dengan suami, minta belikan pampers pun dia marah…”