Hati wanita manakah yang tidak hancur apabila suami tersayang tergamak mengkhianati ikatan perkahwinan tanpa sebarang sebab ataupun alasan kukuh.
Merasa dikhianati selepas pengorbanannya selama ini langsung tidak dihargai, berikut perkongsian wanita yang nekad memulangkan suaminya kepada keluarga mentua.
“Assalamualaikum. Aku wanita berumur 30-an yang memiliki kerjaya tetap. Aku kenal suami iaitu F melalui aplikasi atas talian. Umur kami sebaya. Berkenalan tak lama lalu menikah dua hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Selepas kahwin, satu dunia terus ‘lockdown’. Aku tiada masalah, gaji tetap jalan sebab bekerja dari rumah.
“Suami pula tiada kerja tetap. Sebelum ini, dia hanya menampung hidupnya sendiri dengan kerja-kerja ‘freelance’. Selepas itu pindah ke negeri tempat aku bekerja, dia cuci kaki sahaja. Semua aku sudah sediakan. Tinggal untuk menanggung nafkah aku sahaja. Jadi mula daripada PKP hari itu, dia hanya duduk rumah bersenang-lenang.
“Sebelum ini aku tahu suami memang suka bermain ‘game’ atau permainan video di atas talian. Rupanya dia langsung tak boleh seimbangkan kerja dengan game itu. Sudahlah tiada kerja sebab PKP, solat entah kemana. Ingatkan selepas nikah, adalah teman bersembang sebelum tidur. Tetapi ibarat tunggul sahaja aku dekat rumah ini.
“Hubungan suami isteri itu adalah seminggu sekali atau dua kali. Tetapi kalau depan komputer, bukan main rancak lagi dengan game pagi petang siang malam. Kalau kejut solat Subuh, dia akan tengking dan maki aku. Memang terkejut dan sedih yang teramatlah. Baru tahu dia rupanya jenis yang panas baran dan mulutnya juga boleh tahan jahat.
“Awal-awal kahwin lagi aku sudah rasa menyesal. Selepas enam bulan, aku bolehlah masuk pejabat semula. Suami tetap dengan game dia. Aku cuba berlembut, nasihat dia supaya cari kerja tetap. Semua benda aku tanggung ya. Padahal dia boleh buat duit dengan kemahiran dan latar belakangnya sebagai pereka grafik. Tetapi tidak.
“Mungkin sudah seronok makan tanggung, berak cangkung. Akhirnya aku juga yang bantu hantarkan permohonan kerja merata-rata untuk suami. Dapat pekerjaan tetap walaupun gajinya tak setinggi mana. Sedikit sebanyak, bolehlah meringankan beban aku. Selepas aku mengamuk, nampaklah sedikit perubahan dengan sikap lelaki ini.
“Mula solat dan kurangkan main game. Tetapi sekejap sahaja. Suami berubah balik kepada asal. Aku pula disahkan mengandung. Waktu ini memang teruklah aku diuji. Satu hari, tergerak nak buka telefon dia. Ketika itu, aku bangun awal solat Subuh. Dia memang tidur mati, tengahari baru bangun. Awal kahwin dia ada kongsi kata laluan.
“Suami ada dua telefon. Masuk tandas dia bawa juga kononnya nak main game dan layan Youtube masa buang air. Selepas tengok dalam telefon itu, rasa nak gugur ya jantung aku. Menggigil dan terus rasa sesak nafas. Punyalah ramai betina dia hantar mesej. Dia masih main aplikasi tempat kami berkenalan. Sana sayang, sini sayang!
“Bersepah gambar tak senonoh ya. Waktu aku bekerja di pejabat, rancaklah dia buat penggilan video dengan betina sana-sini. Dalam bilik, atas katil semualah ada. Bukti-bukti itu aku tangkap guna kamera telefon aku. Sedih sangat. Memang hancur hati ini ibarat kaca yang berderai. Tak sangka dia rupanya kaki betina juga! Pakej aku dapat.
“Patutlah suami tak sentuh aku. Yang halal didepan mata ini dianggap tunggul, yang haram juga dicarinya. Sepanjang mengandunglah aku menangis. Sekarang memang beri kesan kepada anak aku. Dari kecil dia kuat mengamuk. Emosi aku memang tak stabil. Setiap kali kantoi, memang kami bergaduh. Dia akan berulang kali minta maaf.
“Konon tak akan buat lagi. Sekali kantoi suami tengok video tak senonoh. Sudahlah nafkah batin hanya beri sebulan atau dua bulan sekali sahaja. Aku memanglah mahu bercerai. Tetapi dia memujuk rayu sakan janji nak berubah. Selepas bersalin, masih sama perangainya. Balik kerja pukul 8 malam, terus main game sampai dua ke tiga pagi.
“Sampailah satu hari, aku pergi kerja di luar kawasan selama seminggu. Balik sahaja rumah, macam tongkang pecah. Aku balik waktu tengahari, anak dekat taska. Suami pula dekat pejabat. Masa kemas rumah, aku nampak ada banyak rambut panjang di lantai. Mula rasa tak sedap hati. Aku kumpul semua rambut-rambut itu dan simpan.
“Tiada orang berambut panjang di rumah. Aku dan anak perempuan kami, memang rambut pendek. Balik kerja aku tanya dia bawa balik betina masuk dalam rumah atau tak. Memang dia tak mengaku. Sejak dari hari itu, aku pasang kamera litar tertutup (CCTV) dalam rumah. Esoknya aku terus pergi mahkamah untuk memohon cerai.
“Tetapi aku tarik semula sebab sedih fikirkan anak yang masih kecil. Konon nak beri peluang terakhir. Kemuncaknya bulan puasa hari itu. Suami aku hanya ada motosikal kapcai buruk, itu pun abang dia yang punya. Dia selalulah pinjam kereta aku bawa ke pejabat. Aku benarkan sebab pejabat aku dekat sahaja. Jadi aku naik motor dia.
“Tetapi selepas suami pakai kereta, mesti aku ada rasa lain macam. Kedudukan kerusi bukan sahaja berubah, malah tisu juga bersepah. Aku pula sudah memasang kamera papan pemuka (dashcam) dalam kereta. Jadi boleh tengok dia pergi mana, bersama siapa. Gerak hati seorang isteri memang selalu tepat. Rupanya sudah lama buat hal.
“Buat hubungan dalam kereta aku. Bulan puasa pula itu. Memang sia-sia sahaja aku kejut suami bangun sahur hari-hari. Aku selalu jugalah periksa CCTV di dalam rumah sebab dia masuk kerja lambat. Bulan puasa, selamba dia minum air dan hisap rokok elektrik. Aku dengar segala perbualan lucah dengan wanita lain dalam dashcam itu.
“Aku mula simpan segala bukti. Aku buat strategi nak keluar daripada perkahwinan toksik ini. Perangai suami sudahlah baran. Kalau bergaduh, dia maki-maki sahaja aku. Aku risau kalau sampai dia naik tangan. Jadi bulan puasa itu juga, aku terus pergi ke mahkamah untuk memohon penceraian sekali lagi. Kali ini aku memang nekad!
“Aku sudah tawar hati ditipu dan dicurangi lebih 11 kali. Kisah aku lebih tragis dari Aliff Aziz dan Bella. Hari raya hari itu, kami balik ke kampung suami. Aku bagilah dia gembira dahulu. Beraya dan bermaafan semua. Hari raya ketiga, aku beritahulah perangai sebenar dia depan keluarga dan adik-beradiknya. Memang semua terkejut.
“Depan keluarga mentua, suami adalah orang yang terpaling sayangkan anak isteri. Terpaling romantik dan ambil berat. Aku terus tunjuk perintah mahkamah. Tak payah terangkan apa-apa, jumpa dia di mahkamah sahaja. Empat tahun aku simpan seorang diri semua perkara ini, sedikit lagi nak jadi gila. Nak menjaga aib suami kononnya.
“Selepas raya, memang aku halaulah suami keluar dari rumah. Mak bapak dia yang datang kutip balik. Dia juga sudah berhenti kerja di sini dan balik duduk dekat rumah mak bapaknya. Mujurlah masih ada mak bapak. Aku ini sudahlah tiada bapak, tiada abang pula. Tidak lama selepas itu, selamatlah aku bercerai dan jadi ibu tunggal.
“Hidup aku lebih aman dan tenteram. Kamu semua, doakanlah aku supaya kuat untuk besarkan anak seorang diri. Walaupun aku tak pernahlah berkira untuk menanggung semuanya, tetapi hanya pengkhianatan yang dibalas. Terlalu sakit, pedihlah hati dan perasaan aku. Nasib baiklah tak sampai masuk hospital Tanjung Rambutan.
“Pengajarannya, kita tidak akan mengenali pasangan selagi tak tidur sebantal. Lelaki kalau tak bersedia nak jadi suami, tak payahlah aniaya hidup anak orang. Kalau tak boleh berubah dan buang tabiat buruk masa bujang itu, tolonglah jangan berkahwin! Perkahwinan itu satu perjudian. Yang dapat pasangan yang baik, soleh bersyukurlah.
“Sekarang aku nak melancong keliling dunia. Nak pulihkan diri sendiri. Tenang…ribut jiwa. Doakan aku ya semuanya.” Kongsi wanita berkenaan menerusi satu hantaran tular di sebuah forum atas talian.
Baca juga: Jadi ibu ‘segera’, Sarah Suhairi tamatkan zaman bujang, pilih duda anak 3 sebagai teman hidup