Penat mengandung 9 bulan tapi keluar muka ibu mentua, ini ‘keluhan’ Syatilla Melvin

Oleh WAN SITI AMINAH

Sekian lama tidak muncul di kaca televisyen, pelakon iaitu Syatilla Melvin kini bergiat aktif dalam bidang perniagaan produk kosmetik dengan kerjasama adik-beradiknya.

Isteri kepada pelakon terkenal, Shaheizy Sam itu juga sering mengadakan sesi siaran langsung di platform TikTok untuk mempromosikan produk kecantikan keluarannya.

Menerusi sesi tersebut, wanita berusia 33 tahun itu telah berjaya mencuri hati ramai pengguna media sosial dengan keletahnya yang suka berjenaka dengan penonton.

Terbaharu, Syatilla atau nama sebenarnya, Siti Nur Syatilla Amirol Melvin itu kembali menghibur peminat ketika diminta mengulas isu berkaitan rupa paras anak-anaknya.

Pelakon drama bersiri, Sha & Shah itu mengakui bahawa anak-anaknya mempunyai wajah yang lebih menyerupai Sam dan ibu mentuanya iaitu pelakon, Khaty Fauziah.

Dengan berseloroh, Syatilla mengatakan bahawa cahaya matanya hanya meminjam rahim miliknya namun keluar dengan rupa paras mirip suami dan juga ibu mentuanya.

Pengakuan tersebut dibuat oleh Syatilla dalam satu sesi siaran langsung yang sempat dirakam sebelum dimuat naik semula oleh pengguna TikTok di platform berkenaan.

“Semua rupa Sam. Tak tahulah, aku ini pinjamkan rahim sahaja. Seekor keluar muka mak mentua, seekor keluar muka laki (suami). Tetapi Okeylah sebab muka laki aku.

“Kalau keluar muka laki orang lain itu pelik pula. Bersyukurlah. Kalau tiba-tiba keluar muka Neymar (pemain bola sepak Brazil) ke, hah mampuslah (mati) nak jawab. 

“Bersyukurlah keluar-keluar muka Sam, sudah memang anak dia. Hanya harapkan Syerif sahajalah modal aku,” katanya menjawab soalan penonton siaran langsung itu.

Tinjauan di ruangan komen mendapati, rata-rata penonton sangat terhibur dengan perkongsian Syatilla dan ramai juga individu mengakui menghadapi ‘masalah’ sama.

“Bukan hang seorang sahaja Syatilla. Aku pun samalah. Anak-anak duduk tumpang perut sahaja. Keluaq (keluar) semua rupa pak depa (bapa mereka),” kata seorang pengguna.

“Sepahtu sudah boleh jemput hang.” Kongsi peminat lain yang mencadangkan agar Syatilla dijemput ke program komedi kerana terhibur dengan perkongsian tersebut.

Baca juga: 4 dekad dalam dunia hiburan, Hattan umum bakal bersara, kongsi bakal sepentas dengan M. Nasir