Malaysia Dateline

Pencalonan PRK Tanjung Piai bermula

Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai bermula pada jam 9 pagi ini di Dewan Jubli Intan Pontian.

Calon-calon mempunyai tempoh selama sejam iaitu sehingga 10 pagi ini untuk mengemukakan borang pencalonan masing-masing sebelum nama calon yang layak bertanding akan diumumkam kira-kira pada jam 11 pagi.

PRK kesembilan sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tahun lalu menyaksikan Pakatan Harapan (PH) diwakili Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tanjung Piai, Karmaine Sardini, 66, untuk mempertahankan kerusi terbabit.

PH akan bertempur dengan empat lagi calon iaitu bekas penyandang kerusi itu, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, 55, dari BN dan Timbalan Setiausaha Agung Nasional Gerakan merangkap Naib Ketua Wanita Nasional parti itu, Wendy Subramaniam, 38 tahun.

Selain itu, Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) juga akan bertanding dengan mempertaruhkan Presidennya sendiri, Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz.

Turut akan bertanding adalah seorang calon Bebas yang mewakili Gabungan Teksi Semalaysia (GTSM), Datuk Shamsubahrin Ismail.

Perarakan PH berlangsung jam 8.15 pagi tadi dari Stadium Pontian dengan dihadiri pemimpin-pemimpin dari Bersatu, AMANAH, PKR dan DAP.