Malaysia Dateline

Pencalonan Shafie bersejarah tetapi DAP serah Majlis Presiden PH

Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP menyifatkan pencalonan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri adalah bersejarah kerana mempertimbangkan seorang pemimpin dari Malaysia Timur buat julung kalinya.

Walau bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, mesyuarat CEC DAP malam tadi menetapkan agar cadangan mengangkat Shafie yang juga Ketua Menteri Sabah itu harus diputuskan dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

“Setelah mengambil pandangan dari semua ahli CEC yang hadir, mesyuarat memutuskan bahawa cadangan ini perlu diputuskan bersama di dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan.

“CEC mengambil pendirian bahawa perkara ini adalah sangat penting dan Majlis Presiden Pakatan Harapan perlu bermesyuarat dalam kadar yang segera sebelum persidangan Parlimen bermula pada 13 Julai 2020,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Guan Eng menyifatkan kedudukan PH perlu diperkukuhkan dan pada masa yang sama, PH perlu bekerjasama dengan semua parti yang komited untuk menentang Perikatan Nasional (PN).

Dalam masa sama, CEC juga menyokong supaya Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Mohammad Ariff Md Yusof dan Timbalannya, Nga Kor Ming dikekalkan dalam jawatan masing-masing.

Reaksi DAP berhubung pencalonan Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna sebagai Perdana Menteri iaitu menyerahkan keputusan muktamad kepada Majlis Presiden PH juga sama dengan pendirian AMANAH.