Malaysia Dateline

Pencalonan Shafie catat sejarah, PH perlu mesyuarat segera, putus DAP

Menyedari bahawa pencalonan Datuk Seri Shafie Apdal sebagai perdana menteri adalah satu sejarah baru negara, DAP mendesak agar Pakatan Harapan (PH) mengadakan mesyuarat segera bagi membuat keputusan mengenainya.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam kenyataannya juga berkata, Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP juga menyokong supaya Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohammad Ariff Bin Md Yusof dan Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming dikekalkan dalam jawatan mereka.

LIM GUAN ENG

“CEC mengambil maklum bahawa cadangan pencalonan ini adalah bersejarah kerana melibatkan seorang pemimpin dari Malaysia Timur dipertimbangkan buat julung kalinya.

“Setelah mengambil pandangan dari semua ahli CEC yang hadir, mesyuarat memutuskan bahawa cadangan ini perlu diputuskan bersama di dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan,” kata Guan Eng dalam satu kenyataannya selepas mesyuarat CEC DAP semalam.

CEC) telah mengadakan mesyuarat pada malam tadi untuk membincangkan cadangan pencalonan Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri untuk mengembalikan mandat rakyat dan membolehkan Pakatan Harapan Plus membentuk semula kerajaan.

“CEC menegaskan pendirian bahawa kedudukan Pakatan Harapan perlu diperkukuhkan dan pada masa yang sama, Pakatan Harapan juga perlu bekerjasama dengan semua parti yang komited untuk menentang Perikatan Nasional,” kata beliau.

Sebelum ini, Mesyuarat Jawatankuasa Pusat AMANAH juga telah mengambil pendirian yang sama.

Ekoran itu, presidennya Mohamad Sabu telah bertemu secara bersemuka dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam bagi menyampaikan keputusan AMANAH secara terus kepadanya.

Ekoran itu, Anwar dalam postingnya di facebook membuat naik satu status gambar mereka berdua dengan kenyataan “Setiakawan tidak boleh dijual beli”.