Malaysia Dateline

Pencapaian 2019: PH selamatkan negara dari lingkaran ganas hutang

Mengimbas pencapaian PH sepanjang 2019, Ketua Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN) Nasional, Senator Aiman Athirah Al Jundi menyifatkan kerajaan telah berjaya memelihara kedaulatan negara daripada terperangkap dalam lingkaran hutang yang mengganas.

Menurutnya, hal tersebut dicapai melalui penjimatan daripada projek-projek mega kerajaan terdahulu sekali gus memperoleh kembali wang atau nilaian yang telah diselewengkan.

“Penjimatan daripada projek-projek mega BN termasuk Bandar Malaysia, sekali gus menyelamatkan negara daripada terperangkap dalam lingkaran hutang yang mengganas.

“Salah satu contoh penjimatan adalah projek laluan sistem transit rapid (RTS) dengan kos terbaharu RM3.16 bilion iaitu penjimatan sebanyak 36 peratus atau RM1.77 bilion berbanding kos asal iaitu RM4.93 bilion,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Tahun 2019 juga, jelasnya, menyaksikan Malaysia menduduki tangga ke-12 dalam kalangan 190 ekonomi dunia berbanding kedudukan ke-15 pada 2018 mengikut Laporan Menjalankan Perniagaan Bank Dunia 2020 yang dikeluarkan pada 21 November lalu.

Setiausaha Kehormat Majlis Senator Malaysia itu berkata, pencapaian tersebut sejajar dengan peningkatan pelaburan asing yang sangat mendadak.

“Contohnya, bagi separuh pertama tahun 2019, FDI (Pelaburan langsung asing) yang diluluskan meningkat 97 peratus kepada RM49.5 bilion daripada RM25.1 bilion dalam tempoh yang sama pada tahun lepas.

“Ini khususnya berlaku hasil daripada transformasi ekonomi yang berkaitan dengan pembaharuan fiskal dan sistem kewangan.

“Ini termasuk pewujudan Jawatankuasa Nasional Mengenai Pelaburan (NCI) yang berlaku buat pertama kalinya dalam sejarah negara,” jelasnya.

Menurutnya, usaha mereformasi institusi giat dilaksanakan pada tahun kedua pentadbiran kerajaan PH termasuklah Parlimen yang melibatkan pemerkasaan dan peluasan peranan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Malaysia sebagai cantuman Sabah, Sarawak dan Semenanjung seiring dengan MA63 (Perjanjian Malaysia 1963) sudah diiktiraf.

“Rule of law (Peraturan perundangan) dikembalikan dengan pemisahan kuasa antara tiga pihak iaitu eksekutif, legislatif dan kehakiman. Kuasa Perdana Menteri dan menteri-menteri dikurangkan.

“Ini dapat dilihat melalui beberapa pindaan RUU yang dibuat di Parlimen termasuk terbaharu pindaan ke atas Akta 77 Perhubungan Perusahaan yang telah memberi kebebasan serta kemerdekaan kepada kelompok pekerja dalam beberapa hal, yang tiada lagi campur tangan kuasa Menteri,” ujarnya.

Aiman Athirah turut menambah pemerkasaan peranan wanita juga berjaya dicapai pada tahap tinggi sepanjang setahun lebih pentadbiran kerajaan PH.

“Buat pertama kalinya Malaysia mempunyai Timbalan Perdana Menteri, Ketua Hakim dan Pesuruhjaya SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) daripada kalangan wanita,” ujarnya lagi.