Malaysia Dateline

Pencapaian All England jadi tonik Soon Huat-Shevon hadapi terbuka Malaysia

Prestasi positif ketika beraksi di All England menjadi tonik buat beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai untuk lebih konsisten hadapi kejohanan Celcom Axiata Terbuka Malaysia 2019 di halaman sendiri bermula Selasa depan.

Goh berkata susulan kejayaan mereka mara ke separuh akhir All England baru-baru ini telah melonjakkan ranking di posisi kesembilan dunia sekali gus menambah keyakinan mereka untuk tampil lebih cemerlang di Terbuka Malaysia yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil.

“Sekarang kami bersedia dan fokus untuk menghadapi saingan Terbuka Malaysia. Persediaan semuanya lancar dan boleh nampak sejak Seluruh England kami semakin meningkat.

“Tambahan pula, ranking dunia kami semakin meningkat, jadi ia juga satu lonjakan semangat buat kami,” katanya kepada pemberita selepas menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Pada awal tahun ini juga, pasangan itu berjaya mara sehingga suku akhir Malaysia Masters 2019, suku akhir Indonesia Masters 2019 pada Januari, separuh akhir Terbuka Jerman pada Februari dan layak ke separuh akhir All England adalah pencapaian terbaik diraih mereka, sejak digandingkan.

Goh-Shevon dijadualkan menentang pasangan Indonesia Alfian Eko Prasetya-Marsheilla Gischa Islami pada Terbuka Malaysia nanti.

Beliau menyifatkan sukar untuk meramal pertemuan dengan beregu Indonesia itu kerana tiada rekod perlawanan antara mereka sebelum ini.

“Kami tidak pernah berjumpa sebelum ini, jadi sukar untuk meramalkan pertemuan itu nanti. Cuma harap dapat mempamerkan permainan yang baik semasa menentang mereka,” kata Goh.- BERNAMA