Pencapaian Food Bank Malaysia boleh dibanggakan, kata Saifuddin Nasution

Pencapaian Food Bank Malaysia boleh dibanggakan, kata Saifuddin Nasution

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Saifuddin Nasution menyifatkan program Food Bank Malaysia di bawah program Zero Waste Policy adalah satu yang boleh dibanggakan.

Kenyataan itu dikeluarkan Saifuddin di kementeriannya hari ini, susulan pertanyaan wartawan berhubung pencapaiannya menjelang tempoh setahun pentadbiran di kementeriannya.

Dalam pada itu beliau berkata, kebanggaan melaksanakan program berkonsepkan bantuan itu bukan sahaja dirasai dirinya, malah kementeriannya turut berkongsi perasaan yang sama.

“Kalau ditanya kepada saya yang paling dekat dengan inisiatif ini, Food Bank adalah satu program yang boleh dibanggakan untuk tempoh pentadbiran saya di kementerian ini.

“Pertama sekali, saya lihat inisiatif ini dapat melahirkan lebih ramai sukarelawan yang berkhidmat tanpa mengharapkan sebarang imbuhan.

“Keduanya, kelebihan program ini pula adalah, kita dapat membantu secara langsung golongan yang memerlukan tanpa kerenah birokasi.

“Di samping itu, saya juga melihat program Food Bank ini berpotensi mendidik pihak hotel dan juga pihak yang terlibat dalam sektor pemakanan supaya mengelakkan daripada berlakunya pembaziran,” katanya dalam sidang media, di kementeriannya, hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pertukaran nama Food Bank kepada Bahasa Kebangsaan, Saifuddin menjelaskan, proses penukaran nama itu akan memakan sedikit masa memandangkan nama berkenaan telah didaftarkan dengan Yayasan Food Bank.

“Buat masa ini, nama Food Bank dikekalkan kerana yang penting, adalah memberi orang makan.

“Pejuang-pejuang bahasa melihat program ini adalah inisiatif yang baik dalam memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan.

“Pada masa sama mereka (pejuang bahasa), juga tampil membuat teguran secara sopan mengenai nama yang sedang digunakan.

“Mereka meminta kalau boleh saya menjenamakan semula dengan nama Tabung Makanan,” katanya.

Pelaksanaan Program Food Bank Malaysia diterajui KPDNHEP bertujuan meringankan beban kos sara hidup rakyat, terutama golongan kurang berkemampuan atau kumpulan B40.