Malaysia Dateline

Pencapaian PH kembalikan keyakinan anak muda, kata Shazni Munir

Satu-satunya perkara yang dapat mengembalikan keyakinan golongan muda kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah melalui pencapaian, tegas Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin.

Beliau berpendapat tempoh sehingga tiga tahun diperlukan untuk melaksanakan janji yang ditawarkan pada PRU14 tahun lalu.

Pengarah Mobilisasi Pemuda PH tersebut mengakui terlalu awal untuk menilai pencapaian gabungan empat parti itu hanya dalam jangka waktu setahun pentadbiran di Putrajaya.

“Tiada jalan lain. Jalan yang paling ampuh adalah pencapaian yang perlu dibuktikan sekali gus dapat menangkis pelabelan negatif terhadap kerajaan PH.

“Hanya dengan pencapaian sahaja boleh menjawab dan mengembalikan keyakinan anak muda. ‘Bahasa’ paling cepat untuk menangani #bossku atau #kerajaansepenggal adalah pencapaian terbaik.

“Setahun adalah proses awal. Kita ada dua hingga tiga tahun lagi untuk membuktikan seluruh janji itu boleh dilaksanakan,” ujarnya dalam program Bicara Politikonomi, ‘Belia dan Anak Muda’ yang dihoskan Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar di TV1 baru-baru ini.

Shazni berkata, PH yang sebelum ini dipanggil Pakatan Rakyat melalui rekod pentadbiran kerajaan negeri Selangor pada 2008 membuktikan mampu mengurus lebih baik daripada kerajaan Persekutuan yang dikuasai BN ketika itu.

“Setiap pemegang amanah sama ada menteri dan mereka di agensi kerajaan perlu ada KPI (Sistem Petunjuk Prestasi Utama) yang jelas yang diletak untuk diri mereka sebagai panduan untuk pencapaian seterusnya mengembalikan keyakinan anak muda dan rakyat kepada PH,” ujarnya.

Menjawab soalan tentang agenda pelaksanaan kerajaan, beliau berkata, paling utama di peringkat mobilasisi PH ialah memberi fokus untuk menjelaskan dasar-dasar pembaharuan yang telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan.

“Kita ada infografik PH yang dalamnya ada kompilasi poster memuatkan perubahan yang dilakukan.

“Info-info secara rasmi ini sangat penting supaya di peringkat anak muda tidak terherot dengan maklumat-maklumat bertaraf picisan yang berlegar di media sosial

“Jadi di peringkat kepimpinan Pemuda PH khususnya dalam mobilisasi kita fokus untuk membawa fakta dan maklumat yang penting berkaitan perubahan yang telah dilakukan kerajaan,” ujar bekas aktivis mahasiswa Universiti Malaya (UM) itu.

Mengulas lanjut, Shazni mengambil contoh tentang bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Kalau lihat pada manifesto yang lepas, kita janjikan bahawa (pendapatan) di bawah RM4,000 ditangguhkan pembayaran. Itulah yang kami tekankan kepada Pengerusi PTPTN (Wan Saiful Wan Jan) termasuklah kepada menteri.

“Apa yang telah kita gariskan dalam manifesto perlu dilaksanakan. Perlu ada penerangan secara jelas kenapa tidak boleh dilakukan sekarang dan bila boleh dibuat.

“Ini penting dilakukan supaya masyarakat umum lebih jelas bahawa kandungan manisfeto bukan sekadar untaian janji tetapi itu adalah akad antara pemimpin dan rakyat,” ujarnya.

Beliau turut menambah komitmen PH di Melaka kepada rakyat apabila meletakkan manifesto PRU14 sebagai KPI kepada seluruh jentera kerajaan.

“Daripada Ketua Menteri sehingga ke peringkat agensi-agensi bertanggungjawab untuk mencapai apa sahaja kandungan manifesto PRU14,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Melaka International Bowling Centre (MIBC) itu lagi.

Shazni bersama moderator Sayed Munawar di TV1 baru-baru ini.