Pencarian MH370 : Tampil jika ada cadangan baharu, kata Loke

Pencarian MH370 : Tampil jika ada cadangan baharu, kata Loke

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) bersedia mendengar cadangan daripada mana-mana syarikat penerokaan atau pencarian yang mempunyai petunjuk dan teknologi yang boleh dipercayai bagi menggerakkan semula misi menjejaki pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata kerajaan masih menunggu cadangan dari syarikat penerokaan dasar laut, Ocean Infinity atau dari mana-mana pihak yang menjalankan misi pencarian yang boleh memberikan petunjuk baharu yang boleh dipercayai berdasarkan terma “No Cure, No Fee” yang bermakna bayaran hanya dibuat apabila serpihan pesawat ditemukan dan disahkan oleh pihak ketiga.

“Kita akan mengkajinya. Kita pernah bekerjasama dengan mereka sebelum ini dan kita bersedia untuk berbincang dengan mereka umengenai cadangan baharu jika ada.

“Selepas misi pencarian tahun lepas ditamatkan, tiada cadangan baharu dari Ocean Infinity. Misi pencarian tidak dapat dilakukan sepanjang tahun kerana cuaca dan sebagainya.

Jika Ocean Infinity boleh mengemukakan cadangan baharu, kita akan berbincang dengan mereka,” kata beliau kepada pemberita pada majlis Memperingati Tragedi MH370 kelima pada Ahad.

Beliau berkata cadangan mengenai teknologi harus lebih membantu dan lebih efisien dalam pencarian sebagai sebahagian daripada jaminan untuk memulakan semula pencarian.

Ketika ditanya sama ada ganjaran akan diberikan kepada mana-mana pihak yang menemukan pesawat yang hilang itu, beliau berkata terma perjanjian adalah sama yang dibuat dengan Ocean Infinity sebelum ini.

Beliau juga menyangkal dakwaan bahawa kerajaan menyembunyikan maklumat dalam laporan MH370 yang terakhir.

“Laporan itu disiarkan sepenuhnya. Tiada timbul isu menyembunyikan apa-apa maklumat, “katanya.

MH370 hilang dari imbasan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014 dengan membawa 227 penumpang dan 12 kru.

Usaha pencarian di dasar laut dijalankan selama hampir tiga tahun untuk mengesan pesawat tersebut di Lautan HindI, meliputi kawasan seluas 120,000 km perseg, melibatkan Auatralia, China dan Malaysia, berakhir tanpa menemukan bangkai pesawat itu.

Pada 29 Mei tahun lepas, syarikat peneroksaan dasar laut berpangkalan di Amerika Syarikat, Ocean Infinity, yang menjalankan misi pencarian terakhir MH370 di Lautan Hindi  menamatkan pencarian selepas gagal menemukan sebarang serpihan.

Pada Julai 2018, Pasukan Penyiasatan Keselamatan MH370 dalam laporan setebal 449 halaman merumuskan bahawa mereka tidak dapat menentukan punca sebenar kehilangan pesawat malang itu tetapi tidak menolak kemungkinan “campurtangan menyalahi undang-undang” oleh pihak ketiga yang menyebabkan insiden itu. – BERNAMA