Pencarum KWSP boleh membuat pinjaman bank mulai 7 April ini

Oleh KIM SYAZIE

Pencarum KWSP yang berusia 40 hingga 50 tahun boleh mula membuat permohonan pinjaman bank mulai 7 April ini.

Perlu mempunyai tabungan berjumlah minimum RM3,000 dalam Akaun 2, pencarum boleh mula menyemak kelayakan melalui atas talian.

Menerusi laman sesawang https://fsa2.kwsp.gov.my, pencarum juga boleh memeriksa amaun pembiayaan peribadi yang layak dipohon.

Bank tempatan yang menawarkan pinjaman melalui kemudahan itu adalah Bank Simpanan Nasional (BSN) dan MBSB Bank.

Difahamkan, kadar faedah (Konvensional) atau kadar keuntungan (Islamik) yang dikenakan adalah lebih rendah berbanding kadar pasaran iaitu 4% hingga 5%.

“Jumlah pembiayaan maksimum telah ditetapkan pada RM50,000, tertakluk kepada baki Akaun 2 KWSP, dengan tempoh pembayaran balik sehingga 10 tahun.

“KWSP akan membayar prinsipal dan dividen terkumpul daripada Akaun 2 ke dalam akaun pembiayaan ahli dengan bank mengikut pilihan ahli,” katanya.

Pembayaran ke akaun pembiayaan akan dibuat mengikut Pengeluaran Umur yang dipilih ahli sama ada pada usia 50 atau 55 tahun.

Jumlah prinsipal dan dividen yang terkumpul akan digunakan untuk membayar baki pembiayaan peribadi sebelum lebihannya dipulangkan semula kepada pencarum.

KWSP menjaminkan bahawa simpanan ahli akan kekal dalam Akaun 2 dan pencarum bakal terus menerima dividen setiap tahun.

Baca juga: ‘Petik cili’ bukan punca mohon cerai, Diana Danielle dedah apa sebenarnya terjadi