Pencarum perlu rancang pengeluaran simpanan KWSP

Pencarum perlu rancang pengeluaran simpanan KWSP

Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak perlu bertindak mengeluarkan simpanan mereka dengan terburu-buru, tetapi merancang pengeluaran mereka bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

Presiden Persatuan Rangkaian Usahawan India Malaysia Datuk S. Gopinath yang membuat gesaan itu berkata pencarum harus berunding dengan pegawai KWSP dan meminta bantuan mereka dalam menyediakan dokumen yang perlu daripada berunding dengan ejen haram untuk pengeluaran segera.

Perancangan yang betul diperlukan bagi mengelak pencarum menjadi mangsa kepada penipu yang mencari mangsa mereka menerusi media sosial dalam percubaannya memperdaya orang ramai, katanya kepada Bernama.

Gopinath berkata demikian berikutan terdapat beberapa kes penipuan secara agresif menggunakan media sosial untuk mengumpan anggota KWSP supaya membuat pengeluaran simpanan mereka lebih awal.

Sindiket itu menyasarkan pencarum yang terdesak memerlukan wang tunai dengan cepat, dan sebagai balasan mereka meminta komisyen sebanyak 30 ke 60 peratus daripada jumlah pengeluaran.

Bahkan, sindiket terbabit juga menggunakan logo KWSP di akaun media sosial mereka sebagai usaha menipu orang ramai.

Kami mendapati mereka yang tergesa-gesa mengeluarkan simpanan mereka pada umur 55 tahun kebanyakannya golongan kelas pertengahan yang mengalami masalah kewangan. Alasan mereka mendapatkan bantuan daripada ejen haram adalah kerana mereka tidak memenuhi syarat prosedur pengeluaran, katanya.

Gopinath berkata KWSP perlu mewujudkan satu sistem yang membolehkan pengesahan dan kelulusan dibuat melalui telefon bimbit atau secara dalam talian.

Ini akan menggalakkan ketelusan dan meningkatkan kebertanggungjawaban, katanya.

CATEGORIES