Malaysia Dateline

Pencemaran juga ganggu bekalan air di Kedah

Sebanyak 34,200 akaun pengguna Syarikat Air Darul Aman (SADA) di Sik dan Kuala Muda mengalami gangguan bekalan air susulan henti tugas tiga loji rawatan air (LRA) dipercayai akibat tumpahan minyak.

Ketua Pegawai Eksekutif SADA, Mohd Suhaimi Mohd Jusoh berkata, gangguan yang berlaku pada jam 6 petang semalam membabitkan LRA Jeniang Baru, Jeniang Lama dan Sungai Pau.

Beliau berkata, isu bekalan dijangka berlarutan sehingga kerja pembersihan dan pemulihan air mentah selesai dilakukan yang dijangka awal pagi esok.

“Berdasarkan pemantauan, kesan tumpahan minyak sudah berhenti dan sekarang SADA dalam proses membersihkan tumpahan di tiga LRA yang dimasuki minyak.

“Bagaimanapun LRA di kawasan hilir seperti Teloi Kanan, Bukit Selambau, Kuala Ketil, Kulim Hi Tech dan Sungai Petani masih terkawal, namun dalam pemantauan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Mohd Suhaimi berkata, pihaknya masih menunggu maklum balas Lembaga Sumber Air Negeri Kedah bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian terbabit.

“Sehingga kini, kerja pembersihan giat dijalankan dan operasi tiga loji terbabit dijangka pulih sebaik semua kerja selesai awal pagi nanti.

“Kita akan mengemas kini maklumat sekiranya terdapat perkembangan terbaru,” katanya.