Pencemaran sisa kimia belum sampai tahap darurat, kata Mahathir

Pencemaran sisa kimia belum sampai tahap darurat, kata Mahathir

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, situasi pencemaran sisa bahan kimia di Pasir Gudang belum sampai ke tahap darurat.

Menurutnya, situasi semasa juga tidak perlu sehingga evakuasi orang ramai, tetapi perlunya berhati-hati dalam berdepan kejadian tersebut.

“Tak, belum sampai ke tahap itu. Kita tak perlu mengisytihar darurat. Tak perlu ‘evacuate’ orang.

“Tetapi kita perlu berhati-hati dan mereka yang ditugas untuk menjaga, mengawal keadaan ini mesti bersedia untuk menangani apa jua masalah yang berlaku,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa di Hospital Sultan Ismail (HSI) ,  Johor Bahru  lapor sinaroneline.

Selain itu, Dr Mahathir berkata, menerusi taklimat kepadanya, beliau mendapati pihak berkaitan telah menjalankan tugas dengan sempurna walaupun kes tersebut tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Tetapi nampak daripada segi bomba, polis, hospital, sekolah dan lain-lain, mereka telah tangani masalah ini dengan cekap dan berhasil.

“Saya datang ke hospital ini untuk melihat mangsa-mangsa dan saya dapati walaupun mangsa menghadapi kesan yang serius, tetapi nampak doktor-doktor di sini sedar dan tahu bagaimana menangani keracunan yang semacam ini,” katanya.

Beliau menyifatkan usaha pihak berkaitan dalam menangani kejadian itu sebagai luar biasa, kerana ia melibatkan gas yang beracun.

“Saya nampak cara mereka merawat amat baik dan hampir semua sudah pun dipulih dan saya yakin akan kebolehan kita memulih mereka yang terkena kepada gas beracun ini,” katanya.