Malaysia Dateline

Pencemaran Sungai Selangor pulih petang ini, kata Amirudin

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan pencemaran Sungai Selangor dijangka pulih petang ini.

Beliau berkata, bekalan air akan mula disalurkan apabila bacaan kadar pencemaran mencecah 0 Ton dari satu Ton ketika ini.

Pada masa sama katanya, laporan polis berhubung kes pencemaran sungai tersebut telah dibuat dan siasatan sedang dilaksanakan.

“Mengikut trend perkembangan bacaan semasa, pencemaran dijangka akan pulih pada petang ini. Laporan polis telah dibuat berhubung kes pencemaran dan siasatan sedang dilaksanakan.

“Dalam pada itu, 81 lori tangki air, 34 tangki statik dan 17 Pusat Khidmat Setempat telah digerakkan oleh Air Selangor untuk kegunaan para pengguna yang terlibat.

“Bekalan Air selepas ini akan disalurkan secara berperingkat,” katanya.

Terdahulu, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd memaklumkan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang berikutan pencemaran sumber air mentah yang dikesan di Sungai Selangor pada jam 2 pagi tadi.

Kejadian itu berlarutan sehingga jam 6.30 pagi ini selepas pencemaran yang di kesan berada pada tahap 1 Ton.

Henti tugas keempat-empat loji itu telah menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1,196,457 akaun merangkumi 1,292 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.