Malaysia Dateline

Pencemaran sungai serius membebankan rakyat

Jabatan Alam Sekitar (Jas) Johor telah melaporkan terdapat pencemaran sungai yang serius pada 16 Januari 2019 berlaku dari Kilang Sawit Penggeli Timur.

Ia melibatkan 3 loji (Semanggar, Sungai Johor, PUB) yang menjadi bekalan air rakyat Johor tercemar teruk hasil daripada pelepasan sisa kilang sawit berkenaan.

Namun difahamkan kilang tersebut telah menerima notis penggantungan lesen untuk tempoh selama 90 hari bagi proses pemulihan sistem rawatan kolam effluen dari Jas Johor disebabkan pelepasan kilang tersebut.

Catatan bacaan kualiti air yang direkodkan adalah parameter BOD3 380mg/L dan parameter pepejal terampai 620mg/L manakala had pelepasan yang dibenarkan ialah 100mg/L dan 400mg/L setiap satu.

Perbuatan tersebut telah melanggar perkara Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Premis yang ditetapkan, minyak kelapa sawit mentah) 1977 dan syarat lesen yang dikeluarkan oleh JAS Johor di bawah seksyen 16 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Namun apa yang berlaku kini, terdapat pertikaian perundangan antara FGV Global ventures dan JAS Johor mengenai perkara tersebut.

Adun Senggarang, Khairuddin A Rahim berkata pertikaian tersebut tidak sepatutnya berlaku dan beliau turut menyokong hasrat JasJohor dalam kes tersebut.

“Tahap effluen mesti mencapai ‘Standard A’ sebelum dilepaskan ke sungai di negeri Johor bagi mengelakkan pencemaran kritikal yang berlaku terhadap sungai di Johor.

“Sepatutnya usaha ini disambut baik oleh pengilang-pengilang dan usaha Kerajaan Negeri Johor ini adalah untuk memastikan rakyat dapat menerima air mentah yang berkualiti.

“Selain itu, hak perundangan untuk mematuhi perkara ini tidak perlu dipertikaikan oleh mana-mana pihak kerana ia adalah keberlangsungan kepada hak rakyat untuk mendapatkan sumber air yang baik.

“Dalam masa yang sama, kos penyelenggaraan sekiranya berlaku pencemaran ditanggung oleh pembekal air dan cas itu akan dikenakan kepada rakyat. Maka dari sebab itulah perkara ini amat dititik beratkan oleh pihak kami,” ujarnya ketika dihubungi.

Menurut beliau lagi, sebelum ini terdapat catuan air yang berlaku sekiranya pencemaran di sungai-sungai ini terjadi.

Selain itu beliau turut menegaskan soal kehidupan laut yang menjadi mata pencarian penduduk pinggir sungai turut terkesan dengan kekurangan hasil hidupan sungai kerana pencemaran yang terjadi.

Sebelum ini, Johor telah mencatatkan tahap kualiti sungai yang kronik di mana terdapat sebanyak 26 dari 50 sungai yang tercemar di Malaysia adalah di negeri Johor.