Malaysia Dateline

Pencemaran toksik: 395 pesakit terima rawatan direkodkan, kata Menteri Kesihatan

Setakat ini seramai 395 orang pesakit telah direkodkan mendapatkan rawatan berikutan pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor  kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Daripada jumlah itu, seramai 304 orang mendapatkan khidmat rawatan di hospital kerajaan manakala 91 orang di klinik serta swasta.

“Di Hospital Sultanah Aminah, ada 14 pesakit yang dirawat dan 32 pesakit lagi di Hospital Sultan Ismail, menjadikan jumlah keseluruhan 46 pesakit yang dirawat di hospital kerajaan.

“Hanya dua pesakit yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) ketika ini. Seorang daripadanya adalah kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun tetapi kedua-dua pesakit ini stabil.

“Kita sedang lakukan yang terbaik dan pada masa yang sama sedang memantau setiap masa walaupun ketika ini boleh menarik nafas lega operasi pembersihan seluruh kawasan Sungai Kim Kim yang tercemar itu telah selesai.

“Kita harap dan berdoa supaya kita sudah menyaksikan pengakhiran kepada episod keracunan ini,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen  hari ini.

Semalam Dr Dzulkefly telah menyatakan kesediaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melaksanakan satu kajian kohort bersifat jangka panjang bagi memantau perkembangan kesihatan mangsa pencemaran toksik Sungai Kim Kim.

Katanya, kajian itu akan dilakukan dalam kadar segera sebaik sahaja pihak Kementerian Kesihatan memperoleh segala maklumat penting berkaitan pencemaran terhadap mangsa yang terlibat.

Jelas beliau, inisiatif itu dilakukan disebabkan terdapat mangsa yang khuatir pendedahan kepada pencemaran toksik tersebut boleh mengundang kepada penyakit serius seperti kanser dan sebagainya.