Malaysia Dateline

Pencemaran toksik: Pas Johor desak kerajaan Persekutuan lebih tegas

 

Badan Perhubungan Pas Negeri Johor mendesak kerajaan Persekutuan supaya bertindak lebih tegas terhadap jenayah pembuangan sisa bahan kimia di Pasir Gudang pada ketika ini.

Desakan berhubung bencana Sungai Kim Kim itu dibuat menerusi penyerahan satu memorandum, oleh Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil kepada Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man di hadapan bangunan Parlimen pagi tadi.

Khairul Faizi berkata, memorandum berkenaan mempunyai empat tuntutan iaitu, tindakan undang-undang yang lebih tegas, pampasan terhadap mangsa, pembentukan Jawatankuasa Diraja dan mewujudkan Standard Operating Procedure (SOP).

Beliau berkata, berkenaan tindakan lebih tegas, pihaknya meminta Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, dikaji semula berikutan denda maksimum adalah RM500,000, dan jumlah itu tidak menakutkan pesalah.

Katanya isu pencemaran bahan kimia itu pula, adalah isu berat dan lebih mendatangkan kesan sampingan, maka sudah tentu penduduk di sana memerlukan satu pampasan yang disalurkan pihak kerajaan itu sendiri.

“Pembentukan Jawatankuasa Diraja pula bertujuan untuk mengkaji segala punca segala kelemahan, termasuk kelemahan pihak kerajaan yang lewat ambil tindakan dan sambil lewa dalam isu ini.

“Kami juga mendesak supaya satu SOP diwujudkan bagi membolehkan ia digunakan semua pihak.

“Waktu berlaku pembuangan sisa toksik di Kampung Sungai Gatom, Labis pada 2006, apabila sisa toksik berjaya dikesan, kerajaan telah mengarahkan penduduk untuk keluar serta merta dari kawasan terjejas.. tapi di Pasir Gudang sudah masuk dua minggu.

“Setiap hari ratusan penduduk perlu dirawat di pusat saringan di Stadium Tertutup Pasir Gudang, tapi tiada yang diarahkan pindah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas penyerahan memorandum itu yang turut disaksikan Pesuruhjaya Badan Perhubungan Pas Negeri Johor, Ustaz Abdullah Hussin.

Dalam perkembangan sama, Tuan Ibrahim pula berkata, sehingga ke hari ini walaupun seorang telah ditangkap, namun tiada pendakwaan dilakukan dan mahkamah tidak cukup bukti untuk mendakwa.

“Walaupun kerajaan negeri mendakwa telah habis RM6.4 juta untuk peruntukan kecemasan, kerajaan pusat pula saya ingat telah bantu lebih RM10 juta habis untuk pembersihan, tetapi kilang satu pun tak ditangkap, pembuangan pun tiada tindakan, kenapa sampai lambat begitu sekali bertindak?

“Yang jelasnya, kalau kita tengok banyak lagi sungai tercemar.. cuma belum berlaku kes.. masing-masing macam bom jangka.. tunggu masa sahaja…

“Walaupun memorandum kita hantar, kita cuba juga angkat isu ini supaya segala tuntutan didengar di peringkat Parlimen,” katanya.