Malaysia Dateline

Pencerobohan pesawat tentera udara China, perisik Israel cetus tanda tanya

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa kerajaan supaya segera menghantar bantahan rasmi ekoran penerobohan 16 buah pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) di ruang udara negara akhir bulan lalu.

Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam kenyataan kepada Malaysia Dateline hari ini berkata, sepertimana yang dilaporkan oleh TUDM pesawat-pesawat tersebut dikesan terbang secara formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautika adalah satu intimidasi yang serius.

Malah jelasnya, cara dan gerak formasi penerbangan taktikal dengan paten dan haluan yang sama menggunakan satu titik laluan masuk dan keluar sememangnya membawa makna tertentu.

“Mustahil PLAAF menghantar 16 pesawatnya menceroboh udara negara jika tidak ada sebab militerinya yang munasabah serta ianya telah dikesan terbang pada ketinggian, kelajuan serta ruang yang dikhuatiri akan mengancam keselamatan negara.

“Sepertimana yang telah disahkan oleh TUDM pesawat-pesawat tersebut merupakan pesawat pengangkut strategik dan berupaya melaksanakan pelbagai misi serta merupakan perkara yang serius terhadap ancaman kedaulatan dan keselamatan negara.

“Persoalan sebenarnya yang menjadi tandatanya apakah sebenarnya telah berlaku setelah pesawat inteligen Israel dibenarkan beredar di ruang udara negara ini pada minggu lalu dan kemudiannya kini diikuti pula oleh pesawat tentera udara China?” soalnya lagi.

Sehubungan itu, Mohd Azmi berkata, insiden tersebut perlu diberi perhatian serius dan disiasat. Manakala kerajaan perlu segera menyampaikan bantahan kepada China dan tidak berkompromi dengan operasi tentera China yang dilihat sebagai suatu usaha provokasi.

Tambah beliau, Malaysia tidak sekali-kali akan tunduk kepada percaturan kuasa besar. Ekoran itu, sekiranya ruang udara kini menjadi laluan pesawat udara negara luar, Malaysia bolleh sahaja terperangkap dengan hagemoni kuasa besar yang berkepentingan.