Malaysia Dateline

‘Pencuri kita kejar walau berada nun di balik awan’

AMANAH memikul tanggungjawab melaksanakan hasrat memperteguhkan kembali keutuhan negara dan menyebarkan kemakmuran buat rakyat.

Presidennya, Mohamad Sabu berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan mengheret penjenayah yang menyeleweng hasil negara termasuk Jho Low.

“Mana-mana pencuri kita kejar walau berada nun di balik awan.

“Jho Low, jaga kau,” katanya merujuk kepada ahli perniagaan dikehendaki polis, Low Taek Jho atau Jho Low.

Mohamad berkata, bagi melaksanakan hasrat tersebut, antara fokus awal yang dilakukan ialah membersihkan kementerian daripada penyelewengan kerajaan terdahulu seterusnya mendapatkan kembali wang yang telah diselewengkan.

“Dalam tempoh setahun ini, sebanyak RM481 juta telah dikutip daripada 96 transaksi tanah yang meragukan sebelum ini di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

“Begitu juga RM500 juta kerugian akibat Land Swap di kem-kem tentera seluruh negara berjaya dirunding semula setelah ianya disiasat oleh Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK),” ujarnya.

Menteri Pertahanan itu berkata demikian dalam Pidato Presiden sempena Konvensyen Nasional AMANAH 2019 di IDCC Shah Alam, Selangor hari ini.

Walau bagaimanapun, Mohamad berkata, ada pihak yang menganggap bahawa PH hanya tahu mencari kesalahan kerajaan terdahulu.

Walhal, jelasnya lagi, siasatan dan tindakan yang dilakukan telah berjaya mengembalikan wang rakyat dan aset-aset penting milik negara yang hampir-hampir tergadai akibat amalan rasuah yang parah di bawah pentadbiran terdahulu.