Malaysia Dateline

Pendaftaran kelahiran bukan penentu kewarganegaraan

Undang-undang pendaftaran kelahiran di Malaysia memperuntukkan bahawa setiap kelahiran hendaklah didaftarkan dalam tempoh 60 hari dari tarikh kelahiran tersebut bagi Semenanjung Malaysia dan 14 hari bagi kelahiran di Sabah dan Sarawak. Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 terpakai bagi Semenanjung Malaysia.

Semua kelahiran yang berlaku di Malaysia wajib didaftarkan tanpa mengira status kanak-kanak itu sepertimana yang termaktub di bawah Seksyen 7 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) pindaan 2017. Ia juga seiring dengan ketetapan Konvensyen Hak Kanak-Kanak anjuran Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) yang menghendaki setiap kanak-kanak yang dilahirkan hendaklah didaftarkan kelahirannya dengan segera tanpa diskriminasi.

Sehubungan itu JPN telah mengeluarkan Sijil Kelahiran berbeza warna mulai 1 Julai 2011. Sijil kelahiran hijau adalah bagi kanak-kanak yang bertaraf warganegara manakala merah bagi kanak-kanak yang bertaraf bukan warganegara atau belum ditentukan.

Bagi kanak-kanak bertaraf bukan warganegara yang telah memiliki sijil kelahiran hijau sebelum 1 Julai 2011, ia dikekalkan dan hanya berubah warna sijil kelahiran apabila pemohon membuat cabutan sijil kelahiran di mana-mana pejabat JPN yang berhampiran.

Pendaftaran kelahiran kadang-kala di anggap remeh oleh sesetengah ibubapa apabila mereka menganggap sijil kelahiran hanyalah “sekeping kertas” yang mengandungi butir-butir peribadi bayi dan juga ibu bapanya. Masalah peribadi pasangan suami isteri dikenal pasti punca utama banyak kelahiran tidak didaftarkan sehingga anak mereka menghadapi pelbagai masalah.

Kebanyakan kes membabitkan pasangan yang melakukan kesalahan lain terlebih dahulu, termasuk tidak mendaftar perkahwinan. Ada sebab mereka tidak mendaftar perkahwinan, antaranya berkahwin dengan warga asing (yang tiada dokumen sah) atau berkahwin secara adat semata-mata bagi yang bukan beragama Islam.

Mereka sedar sudah melakukan kesilapan dan apabila anak lahir, mereka takut dan tidak mahu tampil mendaftarkan anak itu di JPN. Akibatnya, anak mereka akan mengalami pelbagai masalah di kemudian hari termasuk untuk mendaftar di sekolah bantuan penuh kerajaan ataupun mendapat perkhimatan kesihatan percuma di hospital kerajaan sebagai warganegara kerana tanpa sijil kelahiran kewargenegaraan seseorang itu tidak dapat ditentukan dan kanak-kanak ini juga tidak dapat mendaftar untuk kad pengenalan diri sebagai warganegara.

Namun begitu harus ditegaskan di sini bahawa sijil kelahiran bukan penentu kewarganegaraan di negara ini kerana ia bergantung juga kepada perkhawinan yang sah di antara ibu bapanya dan merupakan warganegara Malaysia atau pemaustatin tetap sebagaimana yang telah termaktub di bawah Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan. Ini kerana Malaysia menggunapakai prinsip jus soli dan jus sanguinis di dalam menentukan kewarganegaraannya.

Perkara ini harus diketahui dengan jelas kerana semenjak akhi-akhir ini ramai warga asing yang mendakwa mereka merupakan warganegara Malaysia kerana mereka lahir di negara ini. Justeru itu disebabkan oleh kepentingan untuk mendaftaran kelahiran hatta di dalam tempoh negara mengalami pandemic Covid-19 ini kerajaan telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh pendaftaran selepas PKP berakhir.

Sehubungan itu Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di dalam kenyataannya berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) membenarkan tempoh mendaftar kelahiran dan kematian dilanjutkan sehingga 90 hari selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan.

Ini sekali gus memansuhkan penalti yang seharusnya dikenakan. Bagi rakyat yang berada di luar negara, mereka diberi tempoh sehingga 90 hari selepas tamat tempoh PKP di negara berkaitan untuk membuat pendaftaran melalui pejabat kedutaan.Pengumuman ini jelas melegakan ramai pihak terutama sekali ibu bapa atau penjaga.

Oleh yang demikian isu mengenai pendaftaran kelahiran tidak seharusnya dipandang enteng oleh ibubapa atau penjaga kerana implikasinya besar di dalam menentukan status seseorang itu sama ada dia seorang warganegara atau ‘stateless person’ .

* Dr. Nor Hafizah Mohd Badrol Afandi adalah Ketua Jabatan Undang-Undang Sivil Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.