Malaysia Dateline

Pendaftaran Muda: Menteri Dalam Negeri usah cemari demokrasi

Pemuda AMANAH Nasional menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi hari ini berhubung pendaftaran Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Ketuanya, Hasbie Muda berkata, pihaknya mengucapkan tahniah kepada Muda di atas keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan KDN membenarkan Muda didaftarkan sebagai parti politik dalam tempoh 14 hari.

“Pemuda AMANAH cukup kesal dengan budaya ‘buli’ yang dilakukan oleh KDN terhadap mana-mana pihak yang dilihat mampu mengancam kedudukan parti pemerintah walaupun tindakan terbabit bertentangan dengan Perlembagaan.

“Keputusan Mahkamah Tinggi hari ini adalah satu berita baik untuk demokrasi Malaysia, Menteri Dalam Negeri didesak untuk tidak terus mencemarinya!” tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, tindakan kerajaan melalui KDN sebelum ini yang menafikan hak untuk Muda didaftarkan adalah melanggar hak kebebasan berpersatuan.

Jelasnya, hak kebebasan berpersatuan merupakan hak fundamental yang dijamin oleh Perlembagaan di bawah Perkara 10, selain dinyatakan di dalam Perkara 20 (1) Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR).