Pendaftaran pelajar baharu: LP Darul Anuar tidak pernah serah kepada YIK

Pendaftaran pelajar baharu: LP Darul Anuar tidak pernah serah kepada YIK

Lembaga Pengarah Darul Anuar mendakwa tidak pernah menyerahkan pentadbiran Darul Anuar di Pulau Melaka kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Pengerusnya Nik Omar Nik Abdul Aziz berkata, sewajarnya semua pihak menghormati wasiat Allahyarham Nik Aziz Nik Mat dan tidak secara sewenang-wenangnya cuba mengambil alih atau mengganggu Darul Anuar.

“Adalah amat dikesali apabila ada pihak tidak bertanggung jawab telah menguruskan pendaftaran terbuka pelajar baharu di dalam kawasan Darul Anuar tanpa izin Lembaga Pengarah.

“Lembaga Pengarah beranggapan tindakan ini satu pencerobohan yang bertentangan dengan syarak dan moral.

“Sebagai pewaris wasiat, Lembaga Pengarah akan mempertahankan hak sebagai Pemegang Amanah ke atas Darul Anuar sebagai legasi pendidikan Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz (TGNA).

“Lembaga Pengarah komited untuk meneruskan amanah ATGNA sebagai satu tanggung jawab dan akan kekal berpegang pada amanah dan motivasi ATGNA dalam mentadbir Darul Anuar,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai tindakan YIK yang mencampuri urusan Darul Anuar dengan membelakangkan Lembaga Pengarah dan pemegang amanah yang diberikan kepada Nik Omar anak kedua kepada Allahyarham Nik Aziz itu.

Menurut Nik Omar pengurusan Lembaga Pengarah akan terus beroperasi dan mengendalikan pendaftaran pelajar baharu bagi sesi 2019.

“Setakat tarikh kenyataan media ini dikeluarkan, pihak Lembaga Pengarah berpandangan bahawa pihak Lembaga Pengarah mempunyai kuasa sepenuhnya terhadap Darul Anuar dan jika sekiranya terdapat mana-mana pihak yang berpandangan sebaliknya, pihak tersebut dinasihatkan untuk merujuk perkara ini kepada pihak berautoriti dan jika sekiranya masih tidak berpuashati dengan dapatan yang diperolehi, pihak tersebut dinasihatkan untuk merujuk perkara ini kepada pihak Mahkamah di dalam menentu sahkan ketuanpunyaan/pemilikan Darul Anuar ini,” ujarnya.

Kata Nik Omar lagi asas tertubuhnya Darul Anuar ini ditubuhkan Tok Ku Nik Mat Alim, bapa kepada ATGNA pada 1963 yang dibina atas sebidang tanah yang dihadiahkan ibu saudara ATGNA.

“ATGNA mencadangkan status tanah ini ditukar daripada hadiah kepada waqaf. Ertinya, semua hak tanah berkaitan sekolah Darul Anuar berstatus waqaf.

“Ini jelas bahawa apa saja yang berkaitan Darul Anuar adalah diamanahkan kepada ATGNA secara peribadi dan tiada kaitan dengan keluarga.

“Oleh itu, tanah, bangunan sekolah dan masjid adalah dibawah Pemegang Amanah Tok Guru.

“Bermula Mei 2008, ATGNA menyerahkan mandat/wasiat Pemegang Amanah Darul Anuar kepada Ustaz Nik Omar Nik Ab. Aziz selaku anak lelaki sulung.

“Selepas penyerahan oleh ATGNA, Darul Anuar mewujudkan Lembaga Pengarah dipengerusikan oleh Ustaz Nik Omar Nik Ab. Aziz dengan persetujuan ATGNA.

“Lembaga ini adalah badan tertinggi dalam menguruskan pentadbiran dan polisi Darul Anuar,” jelasnya.