Pendaftaran pengundi wajar dibuat secara automatik

Pendaftaran pengundi wajar dibuat secara automatik

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Manivannan Gowin berkata, pihaknya menyokong penuh usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menurunkan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Namun begitu katanya, cadangan ini sewajarnya diselaraskan sekali dengan cadangan untuk pendaftaran mengundi secara automatik.

Jelas beliau, cadangan pendaftaran pengundi secara automatik ini telah saban kali dibangkitkan oleh saya dan beberapa wakil rakyat sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

Setiap remaja yang menginjak usia yang dibenarkan (kini 21 tahun dan cadangan untuk 18 tahun), namanya akan memasuki daftar pemilih secara automatik tanpa sebarang pendaftaran, ujar beliau dalam satu kenyataan.

“Ini bermaksud, seseorang yang mencapai usia minimum boleh mengundi tanpa perlu mendaftar kerana ia dilakukan secara automatik. Kebanyakan negara sedang mengamalkan pendaftaran secara automatik dan pilihanraya tetap berjalan dengan lancar seperti di Perancis, Republik Czech, Denmark, Finland, Jerman, Iceland, Switzerland, Chile dan Korea Selatan.

“Menurut Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Perkara 119 – Kelayakan Pemilih – menyatakan bahawa;

Tiap-tiap warganegara yang:

(a) telah mencapai umur dua puluh satu tahun pada tarikh kelayakan;

(b) bermastautin di dalam sesuatu bahagian pilihan raya pada tarikh kelayakan yang sedemikian atau, jika tidak bermastautin sedemikian, ialah seorang pengundi tidak hadir; dan

(c) didaftarkan, di bawah peruntukan mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan pilihan raya, dalam daftar pemilih sebagai pemilih dalam bahagian pilihan raya tempat dia bermastautin pada tarikh kelayakan, berhak mengundi di dalam bahagian pilihan raya itu dalam mana-mana pilihan raya ke Dewan Rakyat atau Dewan Undangan.

“Maka, penurunan had umur mengundi dan pendaftaran secara automatik mampu diselaraskan dengan melakukan pindaan kepada Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Seterusnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) seharusnya bekerjasama supaya kedua-dua cadangan tersebut dapat direalisasi dan dipraktikkan,” tambahnya.

Ujarnya lagi, tambahan kepada itu, menurut statistik dan semakan Hansard di Parlimen Malaysia menunjukkan hampir 3.7 juta warganegara Malaysia yang layak masih belum mendaftar untuk mengundi. Daripada data ini, dianggarkan majoriti yang masih belum berdaftar adalah golongan muda.

“Maka, kepincangan penglibatan anak muda dalam politik khususnya untuk mendaftar dan mengundi dalam pilihanraya, tidak seharusnya dipandang ringan.

“Sebagai Kerajaan yang prihatin khususnya kepada anak muda, kerajaan Pakatan Harapan perlu melahirkan idea untuk menglibatkan anak muda dalam kancah politik dan ianya wajar bermula dengan pengurangan had umur dari 21 tahun ke 18 tahun DAN pendaftaran pemilih secara automatik,” katanya.

3.0
OVERALL SCORE
1 user vote x 6.0