Malaysia Dateline

Pendaki teruja salji turun di Gunung Kinabalu

Fenomena salji turun di Gunung Kinabalu bukanlah fenomena baru bahkan ianya pernah terjadi pada tahun 2018, namun hari ini tular video mempelihatkan pendaki begitu teruja dengan fenomena itu.

Kehadiran salji itu sempat dirakam oleh pelatih laluan Via Ferrata, Hajiri Sulumin, 47, ketika sedang menunggu pendaki di Sayat-Sayat pada jam 7.18 pagi tadi.

Salji turun kira-kira tiga minit di Sayat-Sayat sehingga ke puncak Gunung Kinabalu iaitu di Kilometer 8.72 di mana pendaki kelihatan sangat teruja termasuk malim Gunung Kinabalu.

“Wow salji turun, salji turun di Gunung Kinabalu. Cantik permandangan ‘gais’,” kata Hajiri sambil menunjukkan puing-puing salji melekat di bajunya yang bewarna merah.

Pendaki teruja salji turun di Gunung Kinabalu
Gunung Kinabalu

Menurut Hajiri, kejadian itu berlaku secara spontan tetapi dalam tempoh masa yang pendek antara dua hingga tiga minit.

“Ketika itu saya sedang menunggu pendaki yang berada di puncak dan tiba-tiba ada salji turun tetapi sekejap saja antara dua hingga tiga minit.

“Ketika kejadian, saya berada di Sayat-Sayat Check Point dan saya percaya ia sehingga di puncak,” katanya memetik Sinar Harian.

Jelasnya lagi, strukturnya memang salji dan bukannya seperti ketulan ais yang biasa mereka lihat ketika di puncak Gunung Kinabalu.

“Ia memang salji seperti kepingan ringan, kalau ketulan ais ia berat.

“Ada ramai pendaki ketika itu dan saya terpaksa menunggu mereka lebih lama sedikit kerana pendaki yang lain sedang menyaksikan kehadiran ‘salji’ di atas puncak,” katanya.