Malaysia Dateline

Pendaki veteran Bukit Broga kongsi petua jadi sihat, cergas

“Tak macho-lah. Ini baru puncak pertama. Ada puncak kedua, ketiga dan keempat yang tingginya 400 meter. Pergi sambung naik lagi!”

Itu ‘perintah’ seorang lelaki warga emas sambil ketawa mesra menegur saya dan jurufoto, Syafiq Iskandar yang berhenti bergambar di puncak tinjau pertama di ketinggian 268 meter (880 kaki) dari paras laut.

Bukit Broga bagi Ramli Mat Nor, 65, seolah-olah seperti padang permainannya. Mana tidaknya, mantan jurutera forensik Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) itu dilihat berdesup menuruni bukit yang terletak di timur Pekan Semenyih itu.

Sekurang-kurangnya dua kali seminggu, beliau akan mendaki Bukit Broga. Bahkan, datuk kepada seorang cucu tersebut pernah mendaki dengan turut mengusung basikalnya pada 2017 lalu.

Gaya hidup sihat dan cergas Ramli wajar dicontohi rakyat Malaysia.

Ditanya petuanya mengekalkan kecergasan, bapa kepada tiga anak itu mengamalkan rejim pemakanan yang ketat. Nasi hanya dijamah pada waktu makan tengah hari.

Sekali seminggu sahaja beliau makan nasi lemak atau roti canai sebagai sarapan. Malam pula hanya beralaskan oat manakala hari-hari lain cukup sekadar tosey.

“Saya jaga makan. Air manis sekali sehari sahaja saya minum,” katanya yang pernah memiliki berat badan sebanyak 95 kilogram pada usia 34 tahun.

Ramli kemudiannya turun meninggalkan kami dengan sempat meninggalkan nombor telefon. Katanya, ada buku tulisan beliau tentang penjagaan kesihatan yang mahu diberi kepada saya.

Kami tidak meneruskan pendakian walaupun sudah diberi motivasi tadi lantaran kekangan masa untuk tugasan mendapatkan reaksi pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Semenyih dan ‘mengejar’ calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali.

Pemandangan matahari terbit memang indah di Bukit Broga. Lebih indah lagi apabila dapat bertemu individu yang memotivasikan orang lain seperti Ramli untuk konsisten mengamalkan gaya hidup sihat.

Pengunjung perlu sedikit bersesak untuk menuruni Bukit Broga.