Malaysia Dateline

Pendakwaan akan buktikan Najib cuba lindungi perlakuan jenayahnya, kata DPP

Pihak pendakwaan dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan membuktikan Datuk Seri Najib Tun Razak dan ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low mengambil langkah untuk menutup jejaknya selepas skandal 1MDB terbongkar pada awal Julai 2015.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya (DPP)  Kanan dalam kenyataan pembukaan perbicaraan kes 1MDB Najib berkata dokumen palsu dihasilkan kononnya sumbangan daripada Putera Arab Saudi.

“Antaranya adalah surat-surat dan empat cek, setiap satu berjumlah US$25 juta yang ditulis oleh seseorang yang dikatakan penderma Arab. Tetapi cek-cek berkenaan bukan bermaksud untuk ditunaikan dan tidak pernah ditunaikan.

“Pihak pendakwaan juga akan mengemukakan bukti yang menunjukkan tertuduh mengambi langkah aktif untuk mengelakkan keadilan. Beliau juga mengganggu perjalanan penyiasatan kes ini yang dikenali sebagai Skandal 1MDB.

“Beliau juga mengambil langkah aktif untuk menutup perlakuan jenayahnya. Pihak pendakwaan akan mengemukakan semua bukti ini untuk menunjukkan bahawa tertuduh mempunyai mens rea (niat untuk jenayah),” katanya ketika membentangkan kenyataan itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah pada hari pertama perbicaraan kes 1MDB Najib.

Menjelaskan mengenai kes itu, Sri Ram berkata wang dalam kes itu adalah daripada sebuah syarikat, 1Malaysia Development Berhad, lebih dikenali sebagai 1MDB yang dahulunya dikenali sebagai Terengganu Investment Authority or TIA.

Beliau berkata tertuduh memainkan peranan penting dalam pertukaran nama kepada 1MDB dan juga menyebabkan pindaan dibuat dalam artikel syarikat untuk meletakkan beliau sebagai kawalan tunggal mengenai perkara penting berkaitan perniagaan dan hal ehwal syarikat.

“Maksudnya, beliau adalah plenipotensiari (berkuasa mutlak). Tambahan lagi, beliau adalah pengerusi lembaga penasihat syarikat.

“Beliau menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan untuk melakukan tindakan tertentu dan mempengaruhi ahli lembaga pengarah 1MDB untuk melakukan transaksi tertentu yang tidak wajar dengan tergesa-gesa. Tujuan utama tertuduh adalah untuk kepuasan diri. Beliau berjaya mencapai matlamat itu,” katanya.

Sri Ram juga berkata ‘lakonan terperinci’ telah dilakukan dalam beberapa fasa yang melibatkan beberapa watak.– BERNAMA