Pendakwaan batal rayuan bicara kes Khairuddin, Chang di Mahkamah Sesyen

Pendakwaan batal rayuan bicara kes Khairuddin, Chang di Mahkamah Sesyen

Pihak pendakwaan hari ini menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan kes bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguam Matthias Chang Wen Chieh, dituduh cuba mensabotaj perkhidmatan perbankan dan kewangan negara , dibicarakan di Mahkamah Sesyen.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh membatalkan rayuan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azmi Mashud memaklumkan pihak pendakwaan tidak mahu meneruskan rayuan itu.

Beliau berkata pihak pendakwaan telah memfailkan notis untuk menarik balik rayuan itu pada 12 April.

Hakim lain yang bersidang dalam panel itu ialah Datuk Seri Zakaria Sam dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal.

Mahkamah Tinggi pada 18 Nov, 2015, memutuskan pertuduhan mensabotaj perkhidmatan perbankan dan kewangan tidak terletak di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), dengan itu kes itu akan dibicarakan di Mahkamah Sesyen.

Kes melibatkan Sosma akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Khairuddin dan Chang secara bersama dituduh cuba mensabotaj perkhidmatan perbankan dan kewangan Malaysia di lima lokasi antara 28 Jun dan 26 Ogos 2015 mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun, jika sabit kesalahan.

Lokasi berkenaan ialah di pejabat ketua Bahagian Jenayah Ekonomi dan Kewangan Perancis di Paris, balai polis Charing Cross, London, United Kingdom; pejabat Peguam Negara Switzerland di Bern; balai polis Wai Chan, Hongkong; dan ibu pejabat polis Cantonment, Singapura.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali dan peguam Mohd Akmal Afiq Mohamad mewakili Khairuddin, 55, dan Chang, 67.

Muhammad Rafique memberitahu pemberita, Mahkamah Sesyen telah menetapkan 11 dan 12 Mei serta 4 hingga 7 Julai bagi perbicaraan kes itu.

Katanya, esok Mahkamah Persekutuan akan mendengar usul anak guamnya untuk membatalkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan menolak rayuannya berhubung keputusan Mahkamah Tinggi bahawa pertuduhan mensabotaj perkhidmatan perbankan dan kewangan tidak terletak di bawah Sosma.