Pendakwaan Guan Eng keji, bermotif gugat pembangkang, pesan Anwar dari penjara

Pendakwaan Guan Eng keji, bermotif gugat pembangkang, pesan Anwar dari penjara

Pemimpin pembangkang yang dipenjara, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pendakwaan terhadap Lim Guan Eng keji dan bersifat politik yang berniat menggugat pihak pembangkang dengan menjadikan pimpinan sebagai sasaran.

“Berdasarkan siasatan dan pendakwaan sehingga kini, saya yakin serangan-serangan seperti ini tidak akan berhenti dengan Lim Guan Eng sahaja tetapi akan diperluas kepada pimpinan lain, malah mungkin juga dari kalangan bekas pimpinan Umno-Barisan Nasional yang telah bangkit untuk berjuang demi menyelamatkan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan diedarkan PKR.

Beliau amat terkejut dengan penangkapan, penahanan, dan pendakwaan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di mana pasukan pendakwaan diketuai sendiri oleh Peguam Negara TS Apandi Ali.

Lim Guan Eng kata beliau bukan kali pertama diuji sebegini; beliau pernah berkorban untuk menegakkan keadilan buat mereka yang dizalimi.

“Saya yakin beliau dan DAP akan tabah dalam menghadapi serangan terbaru ini,” katanya.

Beliau berdoa agar isteri Guan Eng, Betty, serta anak-anak dan keluarga akan tabah dalam mengharungi dugaan ini, seperti juga keluarganya.

Anwar memberi amaran sekiranya Datuk Seri Najib beranggapan melemah dan memperalat agensi-agensi utama sebegini akan mendiamkan pembangkang, beliau cukup salah.

“Pemimpin seperti Guan Eng dan ramai lagi tidak akan sesekali berundur; malah mereka akan bangkit untuk berjuang dengan lebih kuat demi demokrasi, keadilan dan urus tadbir kerajaan yang baik,” katanya.

Menurutnya, parti-parti di dalam Pakatan Harapan serta pihak-pihak lain termasuklah parti-parti politik, badan-badan bukan kerajaan dan individu yang mempunyai niat dan tujuan yang serupa demi demokrasi dan keadilan di Malaysia mestilah bersatu menuju matlamat yang sama – mengalahkan rejim korup Umno-BN.

COMMENTS

Wordpress (0)