Malaysia Dateline

Pendakwaan jenayah perang tehadap Israel tidak lama lagi

Pejabat Ketua Pendakwaraya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) memberi bayangan bahawa penyiasatan hanya tinggal “beberapa bulan” sahaja untuk diselesaikan sebelum pendakwaan secara formal dibuat terhadap Israel atas jenayah perang.

Ketua Delegasi Pasukan Peguam Penyiasat MyAQSA ke ICC Azril Mohd Amin berkata perkara itu dinyatakan semasa delegasi MyAQSA melakukan pertemuan dengan wakil ICC awal bulan ini (Mei) susulan desakan MyAQSA untuk ICC mendakwa pihak Zionis Isreal atas kekejaman terhadap rakyat Palestin selain pelanggaran Resolusi 2334 UNSC.

“Hasil perbincangan yang diadakan, pihak ICC memberi gambaran bahawa analisis dan penyiasatan mereka terhadap kes ini telah sampai ke peringkat akhir,” katanya pada sidang media di sini hari ini. MyAQSA ialah sebuah organisasi masyarakat sivil (CSO) berpangkalan di Malaysia.

Azril berpandangan kelewatan ICC mungkin disebabkan birokrasi dalaman ICC dan juga tekanan pihak tertentu terutamanya Amerika Syarikat yang tidak mahu kebenaran mengenai penindasan yang dialami rakyat Palestin didedahkan.

Beliau berkata pihak ICC turut menggariskan beberapa langkah yang perlu dilakukan MyAQSA untuk membantu mereka dalam menyempurnakan penyiasatan dan pendakwaan terhadap Israel nanti.

Justeru, katanya MyAQSA akan meningkatkan kerjasama erat dengan pihak berkuasa Palestin khususnya Kedutaan Palestin di Malaysia di samping melobi melalui pertubuhan antarabangsa termasuk Coalition of International Criminal Court (CICC) untuk memastikan proses pendakwaan dilaksanakan dengan berkesan.

“MyAQSA berharap segala inisiatif yang dijalankan ini akan memberi impak agar kezaliman yang dilakukan rejim Zionis Isreal terhadap rakyat Palestin dapat diadili seadilnya dengan peruntukan perundangan sedia ada dan negara itu diberikan hak untuk wujud dengan aman dan adil,” katanya.- BERNAMA