Pendakwaan kes cabul anggota Parlimen Arau bermula, dua saksi beri keterangan

Pendakwaan kes cabul anggota Parlimen Arau bermula, dua saksi beri keterangan

Pendakwaan kes anggota Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim yang didakwa mencabul seorang remaja perempuan bawah umur pada Oktober tahun lepas bermula hari ini dengan dua orang saksi dipanggil memberi keterangan.

Saksi pertama, guru muzik Sekolah Kebangsaan Kampung Salang, Arau, selaku pengurus kumpulan Buskers DSSK, Azhar Hasan, 49, manakala saksi kedua, Adzleen Junaira Mohd Nasir, 27, ialah isteri kepada seorang anggota kumpulan itu.

Ketika disoal oleh Pengarah Pendakwa Raya Perlis, Mohd Nordin Ismail, Azhar menggunakan perkataan ‘sentuhan luar biasa’ bagi menggantikan perkataan cabul.

Azhar berkata kumpulan itu sedang membuat persembahan di hadapan Stadium Tuanku Syed Putra Kangar apabila Shahidan tiba dengan menaiki Toyota Harrier dan berhenti tidak jauh dari tempat mereka membuat persembahan kira-kira pukul 11.30 malam.

Katanya seperti biasa beliau pergi kepada Shahidan dan kemudian melambai ke arah remaja itu (yang berusia 15 tahun tujuh bulan semasa kejadian) supaya datang.

Menurutnya setelah berada dua atau tiga minit dalam kereta, remaja itu dilihat keluar dari kenderaan berkenaan dan berjalan ke arah khemah di mana ibu, bapa dan adik remaja itu sedang menyaksi kumpulan Buskers DSSK membuat perembahan.

Katanya beliau berpendapat sesuatu luar biasa berlaku antara remaja itu dan tertuduh apabila bapa remaja itu tiba-tiba mengajak pulang sebaik dimaklumkan sesuatu oleh ibunya.

“Saya pula tidak melihat atau mendengar perbualan mereka kerana berada di belakang kenderaan,” kata Azhar

Beliau berkata Shahidan kemudian meninggalkan kawasan itu setelah menyerahkan wang RM300 kepadanya.

Shahidan dituduh melakukan amang seksual dengan menyentuh bahu hingga tangan seorang remaja perempuan bawah umur dalam kereta Toyota Harrier di tepi jalan pada kira-kira pukul 11.30 malam di perkarangan Stadium Syed Putra, Kangar pada 20 Oktober tahun lepas.

Beliau dituduh mengikut seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Adzleen Junaira pula berkata dia melihat remaja itu berjalan agak laju semasa keluar dari Toyota Harrier Shahidan dan hampir menangis semasa menceritakan kejadian di dalam kenderaan itu.

“Dia cakap kat mak dia, dia dipegang di bahu dan tangan kiri oleh DSSK (gelaran untuk Datuk Seri Shahidan Kassim).

Saya juga dengar bapanya cakap: “malam ni pi rumah DSSK pun tak apa.” Ini ayat-ayat marah setelah mendapat tahu kejadian pegang bahu anaknya itu daripada isteri beliau,” kata Adzleen.

Katanya beliau bersama suaminya Saiful Anuar menemani keluarga itu membuat aduan di Balai Polis Kangar pada kira-kira pukul 3.00 pagi.

Shahidan diwakili peguambela Zamri Ibrahim yang dibantu Zuhair Ahma Zakwan, Thalia Rohana Abdul Latiff dan Syed Muhammad Anwar Syed Lokman.

Pendakwaan dijalankan oleh Pengarah Pendakwa Raya Perlis Mohd Nordin Ismail manakala Hakim Mahkamah Sesyen Kangar, Ainul Shahrin Mohamad mendengar kes itu.- BERNAMA