Malaysia Dateline

Pendakwah Ebit Lew sedia bas percuma bawa pelajar pulang ke kampung

Memandangkan ramai pelajar IPT yang terkandas berikutan tindakan saat akhir Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menangguhkan pendaftaran, pendakwah terkenal Ebit Lew menyewakan bas khas dan diberikan percuma untuk pelajar pulang ke kampung masing-masing.

Melalui hantaran di Facebooknya malam ini, Ebit Lew melahirkan rasa sedih dengan nasib pelajar yang menghantar mesej kepadanya memohon pertolongan.

“Sayu ramai pelajar mesej saya dari pelbagai universiti. Disebabkan keadaan semasa yang kelas ditukar semula kepada online. Ramai juga yang baru daftar. Sayu dan kasihan sangat pada mereka semua,” kata beliau.

Pada malam ini, beliau menyediakan bas secara percuma kepada pelajar UPSI untuk pulang ke Pantai Timur dan beliau akan mengaturkan pula perjalanan pelajar dari UiTM, UTHM, dan banyak lagi.

“Merekalah pemimpin masa depan. Macam anak kita sendiri. Saya tolong sewakan bas bagi free untuk mereka. Banyak pelajar yang DM saya.

“Yelah keadaan semasa negara Covid-19 meningkat dan membimbangkan. Semoga Allah mudahkan dan selamatkan perjalanan adik-adik.

“Syukur dapat beri motivasi dan semangat pada pelajar dalam bas yang bergerak tadi. Teringat dulu masa susah di universiti,” katanya.

Tindakan drastik KPT menangguhkan pendaftaran secara fizikal/bersemuka bagi pelajar baharu dan lama untuk kemasukan ke kampus bulan ini mengundang kecaman bertalu-talu dalam kalangan pelajar malah ia menjadi ‘trending’ di Twitter dengan tanda pagar “Menteri KPT Sila Letak Jawatan”.

Ramai pelajar melahirkan rasa kecewa dengan keputusan itu kerana ada dalam kalangan mereka terpaksa mengeluar perbelanjaan ribuan ringgit untuk membeli kelengkapan, sewa rumah, pengangkutan sebelum masuk ke kampus.