Malaysia Dateline

Pendakwah kaitkan alat pengimbas suhu dengan muhasabah diri

Perlambangan yang janggal dengan pemilihan kata tidak tepat akan gagal menyampaikan mesej sebenar bahkan mengundang perdebatan dan sindiran. Apalagi jika digunakan seorang individu bergelar pendakwah yang dikenali umum.

Itu situasi yang dilihat tercetus apabila pendakwah Firdaus Wong Wai Hung mengaitkan alat pengimbas suhu jenis berdiri yang lazim ada di mana-mana premis sejak setahun pandemik Covid-19 melanda.

“Manusia tanpa mengira status terpaksa tunduk hormat apabila menjumpai peralatan ini.

“Allah perintahkan kita tundukkan hawa nafsu dan akal kita kepada perintah-Nya, masih ada yang enggan tetapi kita terpaksa tunduk kepada alat tidak bernyawa ini. Muhasabah diri,” katanya sambil melampirkan gambar alat tersebut di laman sosial Facebook (FB) rasminya hari ini.

Manusia tanpa mengira status terpaksa tunduk hormat apabila menjumpai peralatan ini, kata Firdaus Wong.

Ekoran itu, rata-rata warganet mempersoal kenyataan ditulis pendakwah yang juga pengasas badan dakwah, Pertubuhan Mualaf Pelbagai Bangsa (MRM) berkenaan.

Walhal, pengambilan suhu sebelum memasuki mana-mana premis adalah prosedur operasi standard (SOP) yang diwajibkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Seseorang individu wajib melepasi pemeriksaan suhu badan sekiranya ingin melangkah masuk ke dalam premis dan sudah menjadi norma baharu dalam urusan kehidupan seharian untuk memastikan tiada penularan wabak Covid-19.

“Metafora ke laut. Mana ada tunduk hormat. Ketinggiannya boleh dilaras. Satu lagi orang menjengket, atau menunduk sebab pemeriksaan suhu.

“Ia SOP. Siapa buat? KKM. Dikuatkuasa kerajaan PN (Perikatan Nasional). Tolonglah. Saya tak suka PN. Tapi ini pun nak jadi isu?” soal Nurul Ashikin.

Tidak kurang juga yang berpendapat Firdaus Wong terdesak untuk mencuba menulis dengan gaya falsafah.

Oleh sebab itu, penyokong pendakwah itu perlu menerima hakikat bahawa apa yang ditulis Firdaus Wong memang tidak tepat.

“Biasalah tu gelojoh. Semua pernah gelojoh,” komen Ezul Zulkifli.

Walau bagaimanapun, sebahagian warganet menyebelahi pendakwah itu dan menempelak pihak yang mempertikai sebagai tidak memahami mesej muhasabah yang ingin disampaikan.

Firdaus Wong, 38, yang asalnya merupakan penganut agama Buddha dan memeluk Islam pada usia 22 tahun kini kerap berceramah secara FB Live.