Malaysia Dateline

Pendakwah mohon kerajaan, sektor korporat pertimbang sumbangan khas

Majoriti pendakwah di Malaysia tidak mempunyai pendapatan tetap, dan hanya mengharapkan sumbangan ikhlas dari pihak masjid dan surau menerusi aktiviti keagamaan, kata Ustaz Ahmad Hafiz Mohd Alwi.

Pendakwah bebas itu berkata, soal kebajikan para pendakwah Ahlussunnah Wal Jamaah (ASWJ) di negara ini ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 14 April depan perlu diambil berat.

Beliau memberitahu ramai sahabatnya yang mencari sumber rezeki melalui aktiviti dakwah untuk menampung kehidupan mereka.

Walaupun golongan pendakwah, ujarnya, tidak menyuarakan harapan agar kerajaan dapat membantu meringankan beban kehidupan mereka.

“Secara peribadi, saya mengenali ramai sahabat yang terlibat secara langsung mahu pun tidak langsung dalam dunia dakwah ini yang ikhlas bekerja (berdakwah) kerana Allah.

“Sebahagian mereka mempunyai tanggungjawab kepada keluarga, selain mungkin masih lagi mempunyai hutang kereta, rumah, bil-bil utiliti dan sebagainya.

“Jadi, sebagai ketua keluarga yang bertanggungjawab mencari nafkah untuk isteri dan anak-anak tersayang, pastinya ‘kewangan’ diperlukan untuk meneruskan kehidupan.

“Justeru, saya merayu kepada pihak kerajaan, badan korporat, masyarakat dan individu agar dapat mempertimbangkan pemberian sumbangan khas kepada para pendakwah di negara ini ekoran pelanjutan tempoh PKP seperti diumumkan Perdana Menteri semalam,” rayu beliau dengan penuh harapan.

Beliau yang juga Pengasas dan Pengerusi Pusat Pengajian Islam Ar-Rifaie Seksyen 9 Shah Alam berkata demikian secara eksklusif kepada Malaysia Dateline, hari ini.

Dalam pada itu, Ustaz Ahmad Hafiz turut mengharapkan pihak kerajaan supaya lebih prihatin terhadap golongan pendakwah yang ada di negara ini.

“Golongan pendakwah ini berusaha gigih dalam menyebarkan ilmu-ilmu Ahlussunnah Waljamaah Asyairah dan Maturidiyyah yang majoriti dalam kalangan mereka, adalah alim ulama dan para Asatizah.

“Jasa para pendakwah sangat besar sumbangannya kepada masyarakat. Sekarang ini, mereka banyak mengajar melalui medium dalam talian secara percuma demi memberikan kefahaman ilmu agama dan mendidik masyarakat sentiasa bersabar serta mengajar doa-doa, terutamanya dalam menghadapi saat penularan wabak Covid-19 ketika ini.

“Semoga dengan sumbangan yang disalurkan, ianya akan dapat mengurangkan beban mereka, sekali gus mendapat keberkatan daripada Allah SWT, InsyaAllah,” katanya yang turut mendoakan semoga rakyat di negara ini dijauhkan daripada musibah penularan wabak Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu di seluruh negara mulai 18 Mac lalu.

Beliau menjelaskan, larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.

Khusus untuk umat Islam, penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk solat Jumaat, adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang telah bersidang pada 15 Mac lalu.