Pelajar wajib hadiri Sekolah Kebangsaan, pendakwah mualaf persoal dua sekolah Cina dapat dana RM23 juta

Pelajar wajib hadiri Sekolah Kebangsaan, pendakwah mualaf persoal dua sekolah Cina dapat dana RM23 juta

Pendakwah mualaf Firdaus Wong Wai Hung mempersoal kewajaran peruntukan mencecah RM23 juta hanya kepada dua sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) seperti yang diumumkan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching baru-baru ini.

Beliau berpendapat, dana sebanyak itu boleh digunakan untuk menaik taraf sekolah lain terutama di kawasan luar bandar.

“Menurut kebiasaan yang saya ketahui, sumber kewangan SJKC adalah amat kukuh dengan sumbangan dari pelbagai pihak korporat Cina dan syarikat arak untuk mereka.

“Sebab itu banyak SJKC ini yang kemudahannya adalah jauh lebih selesa dan lengkap berbanding dengan Sekolah Kebangsaan. Betulkan saya kalau saya salah.

“Apakah rasional peruntukan lebih RM20 juta hanya kepada dua buah SJKC sedangkan dengan jumlah yang sama, berapa banyak sekolah daif di pedalaman boleh diperbaiki untuk keselamatan dan keselesaan pelajar?” dipetik dari Facebooknya.

Firdaus Wong, 35, berkata beliau awal-awal lagi menolak kewujudan sekolah bertaraf vernakular yang dilihat tidak membantu usaha melahirkan pelajar bukan Melayu untuk menguasai bahasa kebangsaan.

“Sejak dulu lagi saya konsisten mengatakan tiada keperluan sekolah vernakular dan pelajar wajib menghadiri Sekolah Kebangsaan bagi memupuk perpaduan menerusi pergaulan sekaligus meningkatkan kebolehan bertutur bahasa Melayu pelajar bukan Melayu,” ujarnya.

Sehubungan itu, Firdaus Wong yang memeluk Islam pada usia 22 tahun itu berkata, beliau menyokong saranan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya pelajar Melayu mempelajari bahasa Cina.

“Negara China antara negara kuasa ekonomi besar dunia tetapi saranan juga perlu diberikan kepada pelajar bukan Melayu untuk menguasai bahasa Melayu demi perpaduan menerusi persefahaman satu bahasa,” tegasnya lagi.

Untuk rekod, Nie Ching pada 14 Oktober lalu mengumumkan peruntukan yang telah diluluskan kepada beberapa buah SKJC di Pulau Pinang antaranya di SKJC Kay Sin membabitkan RM13 juta dan SJKC Permatang Tinggi (RM10 juta) bagi pembinaan tambahan bilik darjah serta blok baharu.

Selain itu, pemimpin DAP berkenaan membayangkan Bandar Acasia, Batu Kawan di Pulau Pinang memerlukan sebuah SJKC baharu berikutan pertambahan bilangan penduduknya yang mencecah 250,000 orang.

Terdahulu, beberapa pihak mempersoal tindakan kerajaan PH menangguhkan peruntukan bagi sembilan projek naik taraf masjid, surau, sekolah agama rakyat dan kelas agama di Pulau Pinang yang sudah diluluskan menerusi peruntukan khas kerajaan sebelum ini.

Dalam hal berkaitan, sebulan selepas PH mendapat mandat di Putrajaya, Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong menggesa Kementerian Pendidikan meneruskan projek pembinaan 10 SJKC baharu di Johor dan Selangor serta perpindahan enam SJKC di beberapa negeri lain seperti yang diluluskan oleh kerajaan BN.

Wee Ka Siong yang juga Pengerusi Majlis Perundingan Pendidikan Cina Malaysia itu dalam siaran akhbar, 28 Jun lalu berkata, pihaknya bekerjasama untuk membantu Kementerian Pendidikan dalam merealisasikan projek tersebut.