Malaysia Dateline

Pendakwah terkejut Pas pilih pemerintahan model Taliban

Pendakwah Wan Ji Wan Hussin (gambar atas) berkata, adalah mengejutkan apabila Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengambil model Taliban bagi membentuk kabinet yang mahu beliau laksanakan sekiranya Pas membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan.

Pemerintahan Taliban hanya membenarkan non-Muslim memegang jawatan di peringkat eksekutif sahaja, jelas beliau dalam tulisannya yang disiarkan The Malaysian Insight.

“Sudah pasti dianggap ajaib, andai Presiden Pas memilih model kerajaan Taliban, yang bukan sekadar terbukti gagal, bahkan melahirkan pendekatan ganas dan pertumpahan darah.

Menurut Wan Ji, Pas perlu sedar walaupun wujud kelemahan, setakat ini tidak ada lagi sistem politik yang lebih baik dari demokrasi.

“Malahan ia juga diakui oleh majoriti ulama Islam moden pada hari ini. Sistem ini tidak pernah menginstitusikan pembunuhan seperti mana model Taliban dan Khalifah, sehinggakan mereka boleh menuduh yang membangkang sebagai ‘bughah’ (penderhaka).

Tambah beliau, pertumpahan darah dalam rangka demokrasi, selalunya datang dari orang yang tidak bertanggungjawab, seperti mana kumpulan ISIS (Daesh) yang tidak bertanggungjawab menggunakan alasan Islam untuk menghalalkan kejahatan mereka.

“Saya berpendapat, Pas wajar mengambil pendekatan jujur dengan demokrasi, bukan menggunakan saluran demokrasi untuk berkuasa sahaja yang kemudian berusaha menidakkan roh dan semangatnya pada saat berkuasa di Putrajaya kelak,” kata pegawai penerangan kerajaan negeri Pulau Pinang itu.