Malaysia Dateline

PENDAPAT: Bagaimana kalau saya kata Mak Teh ejen Yahudi di Malaysia?

Ada orang yang suka teori konspirasi. Apa yang saya nukilkan ini juga mungkin sebahagian daripada teori konspirasi. Adakah mungkin mereka yang berkempen anti-vaksin seperti Mak Teh itu sebenarnya ejen Israel atau sebenarnya menjalankan agenda Yahudi?

Semalam Malaysia mencatat 63 kematian baharu akibat Covid-19 menjadikan jumlah kematian 2,432 orang. Dalam masa yang sama, kita terkejut dengan berita menggusarkan bahawa 10,000 individu tidak hadir ke temu janji vaksin di Kelantan. Begitu juga di Kedah, negeri Mak Teh. Saya pasti kebanyakan mereka terdiri daripada orang Melayu-Islam.

Dalam masa yang sama, cerita orang yang tidak berwajah bernama “Mak Teh” yang membawa berita bohong kononnya ramai orang mati di Malaysia selepas dicucuk vaksin tersebar luas. Walaupun ceritanya tidak masuk akal, ada juga yang termakan.

Akibatnya sebahagian orang Melayu menjadi ragu-ragu bahkan tidak muncul untuk menghadiri temu janji penerimaan vaksin. Mungkin ramai juga yang mengubah haluan pergi beratur di gerai-gerai air kelapa muda seperti disarankan oleh Mak Teh.

Ini sesuatu yang aneh memandangkan ramai warga Malaysia bukan Melayu berbondong-bondong hadir ke temu janji vaksin, bahkan ramai dalam kalangan mereka yang pergi beratur ‘standby’ di pusat pengedaran vaksin, kalau-kalau ada kekosongan. Kekosongan ini mungkin sebahagiannya akibat sebahagian orang Melayu yang termakan dakyah Mak Teh .

Cuba fikirkan jika vaksin ini berbahaya dan menyebabkan kematian, kenapa orang bukan Melayu berebut-rebut untuk mendapatkannya.

Lagi pelik ialah jika vaksin berbahaya, kenapa Israel (yang rakyatnya terkenal takut mati) menjadi negara terkehadapan membuat sebaran vaksin dengan hampir 60 peratus rakyatnya telah menerima dua dos suntikan vaksin.

Kini rakyat Israel (ketika tidak berperang) telah hampir menjalani kehidupan seperti biasa tanpa perlu memperketatkan SOP.

Semasa Israel menyerang Gaza, kita didedahkan terdapat tali barut Yahudi dalam kalangan penduduk Gaza yang memberikan rahsia strategi pejuang Palestin kepada musuh.

Maka adakah kemungkinan “Mak Teh” dan sewaktu dengannya itu sebenarnya ejen yang dibayar oleh Yahudi Israel yang baru-baru ini dilaporkan telah bertekad hendak menyerang Malaysia?

Israel tidak perlu menghantar peluru berpandu atau pesawat pejuang untuk membunuh rakyat Muslim di Malaysia. Mereka hanya perlu mengupah ejen seperti “Mak Teh” bagi menakut-nakutkan umat Melayu supaya jangan mengambil vaksin.

Mereka boleh juga mempromosi pihak lain yang mempersoalkan SOP, tidak perlu ikut peraturan tentang jarak sosial dan pelitup muka.

Semakin ramai orang Melayu-Islam takutkan vaksin serta tidak mengendahkan SOP, semakin ramai yang akan gugur di katil-katil hospital. Ini pasti satu cara mudah mempercepatkan kepupusan bangsa Melayu!

Satu lagi cara musuh-musuh melumpuhkan negara ialah dengan membuat serangan ke atas sistem ekonomi negara. Ini juga diperolehi tanpa perlu menyerang bursa Malaysia atau tapak-tapak ekonomi negara.

Mereka hanya perlu memanjangkan wabak ini di bumi Malaysia. Semakin lambat rakyat divaksin, semakin lambat Malaysia boleh kembali normal.

Dengan menakutkan rakyat dari vaksin, ‘herd immunity’ lambat berlaku, lantas menyebabkan rakyat Malaysia akan sentiasa terkurung dengan kuarantin, perintah kawalan pergerakan sehingga beberapa tahun lagi.

Ini akan menyebabkan dana negara menyusut, ekonomi menjadi tenat, banyak syarikat ditutup dan seterusnya ramai rakyat hilang pekerjaan.

Sementara itu, negara-negara seperti Israel, United Kingdom, China dan negara-negara Eropah semakin mendekati kehidupan normal dan berupaya menjana semula ekonomi negara masing-masing.

Demikian serampang dua mata orang-orang seperti Mak Teh. Semakin berjaya mereka, semakin musnah negara kita.

Apa-apa pun ini hanya salah satu teori konspirasi, mungkin betul mungkin tidak. Terpulang kepada kita untuk menimbangkannya, menerima atau sebaliknya.