Malaysia Dateline

Pendapat ‘keluar dari Palestin’ bersifat individu, bukan wakili AMANAH

Setiausaha Pemuda AMANAH Nasional, ‘Asim ‘Abdullah Ainullotfi menegaskan kenyataan seorang ahli AMANAH berhubung isu Palestin yang tular di media sosial sama sekali tidak mewakili pendirian parti.

Beliau berkata, kenyataan tersebut secara jelas berlawanan dengan pendirian AMANAH dalam hal perjuangan keadilan rakyat Palestin.

“Sebaliknya AMANAH mendukung penuh perjuangan rakyat di bumi Palestin dan pembebasan Al-Aqsa dari cengkaman Zionis Israel.

“Sebarang kenyataan rasmi AMANAH perlu dirujuk di laman rasmi Parti Amanah Negara,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, tular kenyataan Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Bandar Tun Razak, Shahrul Zakaria yang berpendapat rakyat Palestin sepatutnya keluar dari wilayah itu dan mencari kehidupan lebih baik di negara Arab lain.

Dia juga menganggap sokongan kepada perjuangan Palestin hanya menyebabkan mereka terus dibantai Israel.

Sehubungan itu, ‘Asim mengingatkan kepada seluruh ahli parti agar berhati-hati sebelum membuat sebarang kenyataan sama ada secara peribadi di media sosial mahupun secara rasmi terutama melibatkan isu Palestin.