Pendapat Marina bersifat peribadi tidak beri kesan kepada parti, kata MPT Bersatu

Pendapat Marina bersifat peribadi tidak beri kesan kepada parti, kata MPT Bersatu

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyifatkan pandangan  Marina Mahathir yang mengkritik Datuk Seri Mujahid Yusof dan Wan Saiful Wan Jan kerana mengutuk perarakan LGBT, sebagai pendapat peribadi dan tidak memberi kesan kepada parti.

Dr Muhammad Faiz Na’aman mengulas tindakan aktivis sosial tersebut yang mendakwa kaum wanita silap mengundi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) kerana didakwa memperlekeh suara wanita.

“Tidak wajar jika beliau mengaitkan isu LGBT dengan politik. Kalau hanya kerana pendapat seseorang pemimpin itu yang menentang hal LGBT telah menidakkan kelayakannya menjadi seorang pemimpin, bagi saya tidak wajar.

“LGBT hanya salah satu isu dari banyak-banyak isu yang diperjuangkan Wan Saiful dan juga Mujahid dalam parti politik. Jadi bagi saya itu pendapat beliau dan tidak beri kesan pada kami,”katanya ketika ditanya dalam sidan media diadakan di Ibupejabat Bersatu, Petaling Jaya hari ini.

Marina yang juga anak kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad menganggap Mujahid dan Wan Saiful sebagai Misogny (kebencian terhadap perempuan) dan didakwa tidak mempunyai ucapan positif kepada kaum wanita.

Faiz berkata, penglibatan Marina dalam pertubuhan Sister in Islam, merupakan hak peribadi beliau dan tidak berkaitan dengan mana-mana parti politik.

“Sungguhpun beliau anak kepada Tun Mahathir, tapi kita dapat lihat wujudnya perbezaan pendapat dimana Tun selaku Perdana Menteri dan juga Pengerusi Pakatan Harapan dengan tegas mempunyai pendirian yang berbeza berkenaan dengan penerimaan LGBTQ.

“Ingin saya tegaskan disini, pertubuhan-pertubuhan yang bersifat hak asasi wanita itu secara tidak langsung memperjuangkan perkara-perkara yang sebenarnya ditentang oleh majoriti masyarakat Malaysia seperti LGBT.

“Jadi pada pendapat saya tidak boleh kaitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan mana mana parti politik apatah lagi kerajaan Malaysia,”katanya.

Beliau juga mengingatkan bahawa ini bukan kali pertama Marina bertentang pendapat dengan ayahandanya sendiri dan Bersatu lebih mudah memegang prinsip bahawa ‘iman tidak dapat diwarisi’.